Apabila KEADILAN dicadangkan
supaya menggunakan logo Warisan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16, ia
dilihat sebagai satu penghinaan kepada mereka.
Ketua Penerangan KEADILAN
Sabah, Simsudin Sidek berkata ada pihak tertentu yang sengaja menimbulkan
provokasi politik murahan dengan tujuan menghancurkan kerjasama dan
persefahaman antara Warisan, UPKO dan Pakatan Harapan (PH).
"Cadangan itu bersifat regresif
dan tidak strategik serta mengundang malapetaka kepada kelangsungan hidup parti
itu di Sabah.
"KEADILAN Sabah mempunyai
keahlian lebih 170,000 orang iaitu kedua tertinggi selepas Selangor.
"Justeru, cadangan
tersebut merupakan penghinaan kepadan ahli-ahli dan penyokong akar umbi yang
menghayati prinsip perjuangan parti," katanya dalam kenyataan.
Pada masa sama, Simsudin turut
mengingatkan bahawa KEADILAN mampu bertanding atas lambang sendiri kerana sudah
lama berjuang dan membela hak rakyat sekali gus cukup dikenali dalam kalangan
pengundi.
"KEADILAN sudah wujud
lebih 20 tahun dan bukan sebuah parti yang baru ditubuhkan hanya beberapa
ketika menjelang PRU-14 yang lalu.
"Logo merupakan simbol
idealisma dan identiti sesebuah parti yang sangat penting kerana ia membawa
makna cogan perjuangan parti yang membina hubungan yang kuat dengan pendokong
perjuangan parti. Ia membantu seseorang pengundi untuk mengenali parti dalam
satu pilihan raya," katanya.
Simsudin juga menganggap jika
KEADILAN menggunakan logo parti sendiri, ia bukan didorong atas sifat ego
tetapi berlandaskan prinsip dan perjuangan parti sendiri yang lebih menyeluruh
dan melibatkan rakyat serta negara secara keseluruhannya.
"Cadangan supaya KEADILAN
menggunakan logo Warisan pada PRN ini bolehlah diumpamakan menyuruh parti UMNO
menggunakan logo Bersatu dalam sesuatu pilihan raya yang sudah tentu amat tidak
wajar.
"Sesuatu yang amat logik
untuk kita lihat penggunaan logo parti gabungan yang sah untuk menggambarkan
semangat kesatuan dan kesepakatan politik yang sebenar, bukannya logo parti
lain untuk justifikasi alasan yang sama," katanya.