Orang muda usah terikut gaya politik lama


Oleh Shahrul Shahabudin
(Naib Setiausaha DAP Kubu)
Selepas pilihan raya 1969, sistem pilihan raya di Malaysia meniti zaman gelapnya apabila hegemoni Barisan Nasional (BN) yang diketuai UMNO begitu ampuh dan jelas sukar untuk digugat oleh parti-parti pembangkang. Pada zaman tersebut tidak wujudnya sistem dua parti atau multi-parti dalam pentas politik Malaysia.
Permasalahan ini menjadi titik gelap pada sistem demokrasi di Malaysia yang sepatutnya berterusan subur selepas merdeka dan penubuhan Malaysia. Pada 2008, tsunami rakyat pun bermula. Buat pertama kalinya gabungan parti pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat berjaya memastikan BN tidak memperolehi majoriti 2/3 di Dewan Rakyat selain turut berjaya membentuk kerajaan negeri di lima negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Kelantan dan Kedah. 
Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018, sebuah gabungan politik baharu dibentuk oleh parti pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan (PH) yang terdiri daripada PKR dan DAP selain dua buah parti baharu yang dikenali sebagai Bersatu dan Amanah yang menyaksikan pada PRU14 ini, sokongan rakyat memihak kepada PH dan menjadikan PH kerajaan yang sah di peringkat Persekutuan dan juga negeri-negeri di Semenanjung dan Sabah. Detik ini amat bersejarah kerana menandakan detik gemilang bagi sistem demokrasi di Malaysia yang akhirnya tidak lagi hanya dikuasai oleh satu parti sahaja. 
Sorotan sejarah ini penting untuk dipelajari oleh setiap akar umbi parti-parti politik di Malaysia. Penguasaan penuh tanpa tentangan dalam setiap parti-parti di Malaysia tidak akan mendatangkan manfaat kepada parti dan akhirnya merosakkan kesuburan demokrasi yang sepatutnya disemai di peringkat akar umbi lagi.
Justeru itu, pemilihan setiap parti tidak bolehlah bersifat zero sum game sahaja kerana kaedah ini hanya mengutungkan sesetengah individu dan kelompok dalam sesebuah parti sahaja. Hal ini juga akan melemahkan sistem semak dan imbang yang sepatutnya dijalankan daripada peringkat akar umbi lagi sebelum dijadikan wacana utama di peringkat politik kebangsaan.
Kegagalan bagi memastikan sistem dan imbang diamalkan sebaiknya oleh akar-akar umbi di setiap parti terutamanya UMNO menyaksikan skandal 1MDB yang dilakukan oleh Najib Razak tidak dapat diatasi sebaiknya kerana wujudnya ketaksuban yang melampau dan bersifat dangkal dalam kalangan ahli-ahli akar umbi UMNO sendiri. Mereka-mereka yang tidak bersetuju akhirnya disingkirkan daripada UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad serta Perdana Menteri Malaysia pada hari ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang beberapa tahun selepas itu bekerjasama semula dengan parti yang pernah menkhianati beliau sendiri.
Oleh yang demikian, setiap parti komponen dalam PH seperti PKR, Amanah dan terutamanya DAP perlulah belajar daripada kesilapan ini. Kita perlu pastikan sistem semak dan imbang dijalankan sebaiknya di peringkat dalaman parti melalui kefasihan ahli-ahli akar umbi yang sentiasa cakna dengan kepentingan amalan demokrasi untuk dijalankan secara sihat. Jika tidak nasib kita juga akan menjadi seperti UMNO yang semakin tidak relevan malahan mungkin lebih teruk.
Kita perlu sedar bahawa kepentingan parti mengatasi kepentingan sesetengah individu yang kita sokong. Oleh yang demikian, mereka yang tidak sehaluan dengan kita bukanlah musuh namun merupakan rakan-rakan yang perlu kita dengari keluhan dan kritikan mereka bagi menambah baik susun atur parti sendiri. Jika tidak, kita seperti kerakusan candu dan tidak dapat berpijak di bumi yang nyata.
Amalan pilih kasih dan konsep pilih ‘cai’ perlu dielakkan manakala keutamaan perlu diberikan kepada prestasi yang ditonjolkan oleh pemimpin-pemimpin parti kita. Jika mereka gagal menjalankan tugas mereka dengan baik, maka kita perlulah memberikan laluan kepada pemimpin yang lebih berkelayakan dan mampu menjelmakan masa depan yang cerah kepada parti. Jika usaha ini diamalkan maka sistem demokrasi dapat dihidupkan di peringkat akar umbi sebaiknya.
Akhir sekali, percayalah perbezaan yang kita ada sebenarnya merupakan senjata yang paling ampuh bagi memastikan masa depan parti kita berada pada landasan yang tepat selagi kita tidak menyokong dan membangkang membabi buta. Akal fikiran kita perlu sentiasa terbuka dan bijak bagi menguruskan perbezaan yang kita ada bagi kebaikan kita bersama. Jadi orang muda perlu membaiki kelemahan ini dan tidak terikut-ikut dengan sistem politik lama. Usah sembang tentang idealisme jikalau hidung anda dicucuk seperti lembu. Jalan terus dan terus berkhidmat!

No comments: