Robin Augustin
-August 19, 2020
Timbalan
Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau menerima banyak maklum balas
daripada akar umbi yang tidak selesa dengan idea PPBM bergabung dengan Muafakat
Nasional.
PETALING
JAYA: Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata, akar umbi parti itu tidak
selesa dan tidak bersetuju dengan idea PPBM menyertai Muafakat Nasional (MN),
gabungan antara Umno dan PAS.
Sebelum ini
Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berkata, partinya berhasrat menyertai MN selepas
dijemput secara rasmi untuk berbuat demikian dan selepas itu, setiausaha agung
Barisan Nasional (BN) Annuar Musa menyatakan yang MN juga bersetuju secara
prinsip.
Bercakap
kepada FMT, Mohamad berkata walaupun Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi
mengatakan ia bergantung kepada jawatankuasa MN untuk menentukan penyertaan
PPBM ke dalam gabungan itu, ia perlu dirujuk terlebih dahulu ke Majlis
Tertinggi Umno.
“Bagi Umno,
kita perlu mendapat mandat daripada Majlis Tertinggi. Majlis Tertinggi adalah
badan pembuat keputusan tertinggi dalam parti.
“Kehadiran
saya di sini (sebagai timbalan presiden) adalah kerana akar umbi, jadi kepentingan
mereka mesti dijaga,” katanya.
MN adalah
pakatan antara Umno dan PAS, 2 parti Melayu-Islam terbesar yang secara rasmi
ditubuhkan pada September tahun lalu.
Bersama
dengan PPBM, mereka membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), dengan sokongan
gabungan parti pemerintah di Sarawak, yang kini menjadi kerajaan persekutuan.
Sementara
itu, dalam ciapan di Twitternya, Zahid menegaskan pandangan akar umbi parti
diberi keutamaan dan didengar sebelum MN membuat keputusan mengenai penerimaan
rakan kongsi politik baharu.
“Majlis
Tertinggi Umno akan memutuskan perkara itu,” katanya.