Retorik perkauman yang dimainkan Umno
dan Pas dalam kes pembunuhan ahli bomba Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim
dipersoalkan dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim, malam tadi.
Timbalan Presiden AMANAH, Datuk
Salahuddin Ayub bertanya mengapakah kes Adib masih tidak selesai biarpun
kerajaan 'Melayu Raya' Perikatan Nasional (PN) telah berkuasa lebih daripada
enam bulan.
"Dimomokkan, kononnya kematian
ahli bomba Adib, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Cina DAP menutup kes itu.
"Kematian Adib dipolitikkan.
Kita sangat sedih, bapa dia, keluarga dia sangat tertekan, kenapa pembunuh Adib
tidak didakwa?
"Sekarang dah jatuh kerajaan PH,
kerajaan DAP jatuh. Naik Muhyiddin Yassin, Melayu semua. Mana dia kes Adib?
Siapa yang bunuh Adib?
"Dulu tuduh kita (PH)
sembunyikan bukti. Nak bela India, nak bela kafir. Sekarang kamu semua dah
kerajaan, apa jadi kes Adib? Tak dapat juga kemukakan (pembunuh), kerana sukar
cari saksi-saksi untuk mensabitkan.
"Jadi isu perkauman, isu agama
bukan isu penting. Isu penting di sini adalah untuk kita selamatkan
negara," katanya dalam ceramah di Felda Besout 4, malam tadi.
Ahli Parlimen Pulai itu turut
bertanya adakah para penyokong Pas sanggup memangkah logo dacing selepas
pemimpin utama Umno, Najib Razak didapati bersalah menyelewengkan wang negara?
Katanya, sebagai bekas Naib Presiden
Pas, beliau tahu sumpah Pas untuk tidak memangkah parti dacing yang menyeleweng
dari ajaran Islam sebenar. Namun hari ini Pas menganggap BN sekutu paling baik,
sedangkan kes-kes penyelewengan tidak pernah berubah daripada sifat dan cara
hidup pemimpin parti berkenaan.
"Mereka (Pas) telah mengajar
Umno memang parti yang tidak boleh mereka undi.
"Saya rasa inilah yang kita
perlu beritahu rakan-rakan kita (dalam Pas). Saya rasa mereka yang benar-benar
pejuang Pas tidak mungkin boleh memangkah lambang dacing," katanya lagi.
Justeru, Salahudin mengajak pengundi
Slim memberikan isyarat jelas kepada Umno-BN bahawa mereka tidak layak lagi
memerintah dengan memberi undi kepada calon Parti Pejuang Tanah Air, Amir
Khusyairi Mohamad Tanusi yang menggunakan logo 'Pokok'.
Tindakan itu, menurut Salahudin,
merupakan satu pengajaran kepada BN yang selama ini mempropagandakan kepada
orang Melayu bahawa pemimpin mereka dianiaya oleh PH melalui pendakwaan di
mahkamah. Sedangkan, terbukti Najib dihukum bersalah oleh mahkamah pada era
pemerintahan PN.
"Kalau Datuk Seri Najib hari ini
telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM200 juta, rakyat kena
ingat bahawa apa yang berlaku ke atas Najib itu tidak akan dapat dilakukan
tanpa Tun Mahathir bersama PH menang PRU 14 dan mengheret perompak, penyamun ke
mahkamah.
"Akhirnya tuduhan itu bukan
fitnah, bukan rekaan tetapi telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur.
"Kalau kerajaan BN tidak
tumbang, bukan sekadar penjenayah nombor 1 Malaysia tetapi nombor 1 dunia itu
masih bebas menyalahguna kuasanya sebagai orang nombor 1 negara.
"Orang Felda Besout jangan fikir
ini pertarungan antara Melayu dan Cina, ini bukan pertarungan perkauman atau
agama. Ini pertarungan maruah untuk memulihkan kembali negara dari diperintah
oleh perompak, penyamun dan pencuri," katanya lagi.
Hari mengundi bagi PRK Slim pada 29
Ogos. Tiga calon bertanding dalam PRK itu, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38
(Pejuang), Mohd Zaidi Aziz, 43 (BN) dan Santhara Sekaran Subramaniam, 42
(bebas).