Apa jadi Malaysia bisu perjanjian damai UAE – Israel?
FAIZ FADZIL
1. Dunia Islam beberapa hari yang lalu dikejutkan oleh pengumuman yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung persetujuan antara UAE dan Israel bagi memeterai perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Abraham. Perjanjian ini didakwa oleh Amerika Syarikat sebagai langkah penting bagi membawa perdamaian di Asia Barat. Pengumuman ini menjadikan UAE sebagai negara Teluk Arab yang ketiga menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel selepas Mesir dan Jordan.
2. Perjanjian UAE dan Israel ini dilihat sebagai satu lagi pengkhianatan terhadap umat Islam di Palestin yang sekian lama berjuang untuk memastikan mereka menjadi sebuah negara yang bebas dan merdeka. Kezaliman yang dilakukan oleh Israel adalah kezaliman yang tidak boleh diterima dan tidak berperi kemanusiaan. Sejak penubuhan negara haram Israel pada tahun 1948, ribuan penduduk Palestin telah terkorban dan menjadi pelarian. Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada tahun 2019 sahaja 137 orang penduduk Palestin dibunuh yang menjadikan seramai 3,624 orang telah terkorban sejak 10 tahun lalu.
3. Namun, yang menjadi persoalan ketika ini ialah sikap membisu kerajaan Perikatan Nasional (PN) berhubung pendirian mereka terhadap perjanjian UAE-Israel. Tidak ada sebarang kenyataan mahupun pendirian yang dikeluarkan oleh kerajaan PN berhubung perkara ini. Malah, sikap membisu juga ditunjukkan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih belum memberikan kenyataan mahupun pendirian mengenai perjanjian ini. Adakah Malaysia terperangkap dengan pembelian alat perisikan Isreal Senpai baru-baru ini?
4. Sebagai salah sebuah negara di dalam Organisation of Islamic Cooperation (OIC), Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas mengutuk perjanjian ini yang nyata telah melukakan umat Islam di Palestin dan juga dunia. Kezaliman yang dilakukan oleh Israel adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali oleh dunia. Ke mana hilangnya identiti kerajaan ‘Melayu-Islam,’ apabila Kerajaan PN masih membisu untuk menyatakan pendirian tegas mereka bagi mengutuk perjanjian yang nyata tidak memberikan keuntungan kepada umat Islam khususnya di Palestin.
“Resistance in Palestine will continue until the final liberation of all Palestinian lands”- Syeikh Ahmad Yassin