Malaysia sokong Palestin, PH tentang perjanjian damai Israel-UAE-MANA HADI BERTARAF MENTERI




Petisyen Ahli-ahli Parlimen Malaysia mengecam Rancangan Pengilhakan atau rampasan tanah Palestin di Tebing Barat oleh Israel telah diserahkan kepada pihak Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Kedutaan Palestin semalam.

Menurut Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, petisyen tersebut mengumpulkan lebih 130 tandatangan Ahli-ahli Parlimen terdiri daripada pihak kerajaan dan pembangkang sesuai dengan cadangan yang diutarakan dalam usul yang telah disepakati sebulat suara oleh wakil pembahas daripada pihak kerajaan dan pembangkang pada 16 Julai lalu.

Katanya, serahan petisyen itu diwakili oleh 5 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bagi menunjukkan solidariti tidak berbelah bahagi rakyat Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin.

"Delegasi Ahli parlimen Malaysia disambut oleh Daniel Wright, Penolong Penasihat Politik Kedutaan AS dan Tuan Yang Terutama Walid Abu Ali, Duta Palestin ke Malaysia.

"Penyerahan petisyen berjalan dengan lancar dan Ahli Parlimen mengambil peluang untuk berucap menyampaikan mesej petisyen ini adalah suara rakyat Malaysia yang mengecam sebarang bentuk penindasan, kekejaman dan pelanggaran hak asasi manusia," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, menurut Syed Ibrahim, delegasi Malaysia juga membangkitkan isu perjanjian damai Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Israel yang dilakukan atas alasan untuk menghentikan pengilhakan tanah Palestin.

Hal itu, kata Syed Ibrahim merupakan satu dalih palsu dan tidak wajar disebut sebagai antara kejayaan AS dan UAE untuk membawa kedamaian di Timur Tengah.

"Ini satu alasan palsu, lemah dan bertujuan mengelabui hasrat sebenar. Hakikatnya, keputusan normalisasi hubungan telah dibuat tanpa perbincangan atau persetujuan rakyat Palestin dan rancangan pengilhakan oleh Israel tidak dihentikan. Cuma sekadar ditangguhkan seperti diakui oleh Perdana Menteri Israel.

"Saya menggesa Malaysia menasihati UAE agar menarik balik keputusannya dan kembali kepada rancangan damai bersama negara-negara Islam dalam perjuangan membebaskan Palestin daripada cengkaman rejim Israel.

"Tidak memadai sekadar menghormati hak kedaulatan UAE sedangkan implikasinya ialah kepada pengukuhan pengaruh AS dan Israel di Timur Tengah di sebalik tindakan unilateral yang terus menindas hak dan keadilan rakyat Palestin.

"Saya juga tertanya apakah pandangan Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah dalam hal ini? Amatlah wajar Duta Khas juga memainkan peranan penting dalam mempamerkan aspirasi Malaysia, sebagai sebuah negara pendukung keamanan dan keadilan mendepani konflik Palestin-Israel," katanya lagi.

Hari ini, di Parlimen, Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Abdul Hadi Awang disoal bertalu-talu mengenai perdamaian UAE dan Israel yang tidak dikecam oleh Malaysia.

Sikap berdiam diri, menurut Ahli Parlimen pembangkang adalah tidak wajar memandangkan negara Islam lain mengecam UAE kerana mengkhianati rakyat Palestin.


No comments: