PRN Sabah: KEADILAN akan bertanding lebih banyak kerusi






Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Sabah yakin bahawa parti akan bertanding lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16.

Timbalan Ketua AMK Sabah, Wendey Agong Baruh berkata keyakinan itu bersandarkan kepada penambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang baharu serta prestasi Warisan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Semasa PRU-13, KEADILAN mempertandingkan 43 daripada 60 kerusi DUN Sabah namun pada PRU-14, KEADILAN cuma mempertandingkan 8 daripada 60 kerusi DUN selepas 35 kerusi DUN diserahkan kepada WARISAN.

"Penambahan 13 kerusi DUN baru di Sabah dan kegagalan Warisan memenangi beberapa kerusi yang diberikan KEADILAN pada PRU14 lalu, kita yakin Pengerusi KEADILAN Sabah, Christina Liew mampu mendapatkan sekurang-kurangnya 20 kerusi daripada 73 kerusi DUN untuk dipertandingkan," katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Wendey percaya bahawa calon dalam kalangan anak muda akan diberi kelebihan untuk bertanding.

"KEADILAN sangat dikenali sebagai sebuah parti yang memperjuangkan isu anak muda, malah parti ini sering mengetengahkan anak muda sama ada untuk memimpin parti mahupun sebagai calon pilihan raya.

"AMK Sabah juga telah menghantar beberapa profil calon. Kini terpulang kepada pengerusi untuk menentukan kerusi mana yang bakal dipertandingkan oleh anak muda dari KEADILAN Sabah," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan bahawa hari penamaan calon bagi PRN Sabah akan diadakan pada 12 Sept, diikuti dengan hari mengundi awal pada 22 Sept dan hari mengundi pada 26 Sept.


No comments: