Sekali lagi ‘tercicir’, Jalaluddin tiada dalam senarai Exco Negeri Sembilan

 


Nama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias tidak tersenarai dalam barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang mengangkat sumpah bagi penggal baharu pagi ini.

Bagaimanapun, Jalaluddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang itu dilihat hadir dalam istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti.

Istiadat itu menyaksikan hanya dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan, manakala lapan lagi merupakan muka baharu dalam pentadbiran negeri.

Kesemua mereka mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan di Istana Besar Seri Menanti.

Berangkat sama ke istiadat berkenaan ialah Tunku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud; Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz serta Tunku Panglima Besar, Tunku Zain Al-‘Abidin Tuanku Muhriz.

Dua ADUN yang dikekalkan sebagai Exco ialah ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli dan ADUN Palong, Datuk Mustapha Nagoor.

Lapan muka baharu pula ialah ADUN Chembong, Datuk Zaifulbahri Idris; Siow Kong Choon (Chennah); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng).

Turut menganggotai Exco ialah Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui); Suhaimizan Bizar (Gemencheh); Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat).

Istiadat itu turut dihadiri Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Klana Petra Muhammad Faris Johari; Undang Luak Rembau, Datuk Sedia Raja Hassan Ab Hamid serta Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 sebelum ini menyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tujuh kerusi.




No comments: