CIKGU CIKGU, TOLONG BACA DAN FAHAM. JANGAN MALAS MEMBACA CIKGU YAM..

 


Guru Posting 2024 & 2025, Jangan Panik. Ini Sebenarnya Maksud Surat JPA Yang Ramai Salah Faham.







Sejak beberapa hari ini, surat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bertarikh 6 Ogos 2026 mula tersebar di media sosial. Seperti biasa, apabila hanya sebahagian maklumat dikongsikan, pelbagai tafsiran pun muncul.


Ada yang kata, “Alhamdulillah, dah jadi tetap.”


Ada pula yang risau, “Habislah… sampai bila nak jadi kontrak?”


Hakikatnya, kedua-dua tanggapan itu belum tepat sepenuhnya.


Jadi, saya cuba jelaskan dengan bahasa yang mudah supaya guru-guru posting tahun 2024 dan 2025 benar-benar faham apa yang diputuskan oleh kerajaan melalui surat ini.


(1)

Pertama sekali, kita kena faham mengapa wujudnya Lantikan Kontrak (Interim) atau LKI.


Ramai yang menyangka kerajaan memang mahu melantik guru secara kontrak selama-lamanya. Sebenarnya bukan begitu.


Perkataan 'interim' sendiri membawa maksud sementara. LKI diperkenalkan sebagai satu kaedah peralihan sementara kerajaan menyediakan mekanisme baharu untuk lantikan tetap dalam perkhidmatan awam.


Sebab itu guru-guru yang mula berkhidmat sejak 1 Mac 2024 di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dilantik menggunakan kaedah ini.


(2)

Surat JPA ini menjelaskan bahawa kaedah baharu lantikan tetap masih belum dimuktamadkan.


Jadi, kerajaan membuat keputusan untuk meneruskan sistem LKI buat sementara waktu.


Maksudnya mudah. Bukan kerajaan membatalkan lantikan tetap. Bukan juga kerajaan mahu semua guru kekal kontrak. Tetapi kerajaan masih memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan mekanisme baharu tersebut.


(3)

Ramai juga yang bertanya, 


“Kontrak saya nak habis. Lepas ini macam mana?”


Di sinilah berita baik yang dibawa oleh surat ini.


Bagi guru yang sedang berkhidmat di bawah LKI, kontrak akan disambung selama dua tahun lagi, bermula sehari selepas kontrak asal tamat.


Namun, jangan pula salah faham.


Dua tahun itu bukan bermaksud semua orang mesti menunggu dua tahun penuh.


Dalam surat tersebut ada dinyatakan “atau sehingga kaedah baharu lantikan tetap dilaksanakan, mana-mana yang terdahulu.”


Kalau kerajaan berjaya melaksanakan sistem baharu lebih awal, maka proses itu akan mengikut dasar baharu tersebut.


(4)

Bagi guru yang akan dilantik selepas ini pula, pengambilan masih diteruskan melalui LKI.


Tempohnya ialah tiga tahun atau sehingga kaedah baharu lantikan tetap berkuat kuasa, bergantung kepada mana yang berlaku dahulu.


Ini menunjukkan satu perkara yang sangat penting. Kerajaan tidak menghentikan pengambilan guru. Keperluan guru di sekolah masih berjalan seperti biasa.


(5)

Persoalan yang paling banyak saya terima ialah mengenai gaji, elaun dan cuti.


Jawapannya, surat ini langsung tidak menyebut sebarang pengurangan hak tersebut.


Guru LKI masih menerima gaji mengikut skim Pegawai Perkhidmatan Pendidikan dan masih menikmati elaun yang layak berdasarkan peraturan yang sedang berkuat kuasa.


Malah, Cuti Rehat Khas (CRK) juga tidak hilang.


Ramai menyangka CRK hanya untuk guru tetap. Sebenarnya, peraturan JPA membenarkan guru yang dilantik secara Contract of Service seperti LKI menikmati kemudahan CRK tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.


Jadi, tidak timbul isu kononnya guru LKI tidak ada CRK atau hilang kemudahan cuti.


(6)

Bagaimana pula dengan LPPSA?


Ini pun ramai yang risau.


Secara umumnya, guru LKI masih boleh memohon pembiayaan perumahan LPPSA.


Cuma, seperti semua permohonan lain, kelulusannya tetap tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh LPPSA.


Antara perkara yang akan dinilai ialah baki tempoh kontrak, kemampuan membayar balik dan syarat pembiayaan semasa.


Sekurang-kurangnya, dengan adanya surat pelanjutan kontrak ini, kedudukan guru LKI menjadi lebih jelas dan lebih stabil berbanding jika kontraknya hampir tamat.


(7)

Begitu juga dengan kemudahan lain seperti cuti sakit, cuti bersalin, cuti isteri bersalin dan pelbagai kemudahan perkhidmatan yang diperuntukkan kepada pegawai Contract of Service.


Surat ini tidak menyatakan bahawa semua kemudahan tersebut ditarik balik.


Sebab itu, jangan mudah percaya apabila ada pihak mengatakan guru LKI tidak ada hak seperti penjawat awam yang lain.


(8)

Namun, dalam kita menyambut baik perkembangan ini, ada satu perkara yang kita perlu faham.


Surat ini bukan surat lantikan tetap. Ia juga bukan surat yang mengatakan semua guru LKI telah diserap menjadi pegawai tetap.


Apa yang diputuskan hanyalah kerajaan memberi kesinambungan perkhidmatan sementara menunggu kaedah baharu lantikan tetap disiapkan.


Jadi, jangan terlalu gembira sehingga menyangka semuanya sudah selesai. Dalam masa yang sama, jangan juga terlalu risau sehingga menganggap masa depan sudah gelap.


(9)

Apa yang masih kita tunggu ialah pengumuman rasmi kerajaan mengenai mekanisme baharu lantikan tetap.


Antara perkara yang pastinya ingin diketahui oleh guru-guru ialah bagaimana proses penyerapan akan dibuat, bila ia akan dilaksanakan, bagaimana status pencen, sama ada tempoh LKI akan diambil kira untuk tujuan kekananan dan beberapa perkara lain yang berkaitan dengan perkembangan kerjaya.


Perkara-perkara ini belum dijelaskan dalam surat tersebut.


Kesimpulan


Bagi saya, surat JPA ini sebenarnya memberi satu mesej yang melegakan kepada guru-guru posting 2024 dan 2025.


Kerajaan tidak membiarkan kontrak guru tamat tanpa penyelesaian. Sebaliknya, kerajaan memastikan perkhidmatan diteruskan sementara mekanisme lantikan tetap dimuktamadkan.


Dalam tempoh itu, gaji masih dibayar, elaun masih diterima, Cuti Rehat Khas (CRK) dan kemudahan perkhidmatan lain terus dinikmati mengikut peraturan semasa. Guru-guru juga masih boleh memohon pembiayaan LPPSA tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.


Justeru, saya berpandangan bahawa guru-guru tidak perlu membuat kesimpulan berdasarkan khabar angin atau potongan gambar yang tular di media sosial. 


Bacalah keseluruhan surat, fahami konteksnya, dan tunggulah pengumuman rasmi kerajaan mengenai kaedah baharu lantikan tetap. Itulah pendekatan yang lebih matang dan lebih adil kepada semua pihak.


Mohd Fadhli Othman





No comments: