Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tampil menjawab dakwaan bahawa kerajaan beliau menyekat peruntukan kepada Ahli Parlimen tertentu.
Ketika ditemui media, Anwar menjelaskan bahawa tiada sebarang sekatan dilakukan, sebaliknya peruntukan tersebut diberi terus kepada rakyat.
Menurut beliau, peruntukan tidak semestinya disalurkan kepada Ahli Parlimen kerana matlamat utama adalah memastikan manfaat sampai kepada rakyat.
“Tak ada (sekatan), peruntukan tak semestinya bagi kepada Ahli Parlimen. Peruntukan diberi kepada rakyat. Sejak bila kita kena bagi Ahli Parlimen?.
“Kalau peruntukan ada RM2 juta, RM2 juta kepada rakyat, pada sekolah, sekolah agama, masjid, longkang baiki. Itu semua kita akan lakukan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menunaikan solat Jumaat di Masjid Ar-Rasyidin hari ini.
Anwar berkata, dasar berkenaan telah lama dilaksanakan dan perkara itu diketahui oleh Ahli Parlimen terbabit ketika mereka sebelum ini memegang jawatan sama.
“Dasar itu terpakai sejak dulu, semasa mereka Ahli Parlimen dulu mereka tahu. Sekarang dia menentang. Jadi bila dia menentang, kita salurkan terus kepada rakyat,” katanya.
Sebelum ini, berlegar dakwaan bahawa Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung disekat peruntukan Parlimen.
No comments:
Post a Comment