Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) telah tergugur dengan sendiri.
Beliau berkata, kenyataan berkenaan bercanggah dengan Perlembagaan PN kerana tiada peruntukan yang menyatakan keanggotaan parti anggota boleh gugur secara automatik.
Menurut beliau, kedudukan Bersatu di dalam PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden PN mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN.
“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam Perikatan Nasional. Justeru, Bersatu masih parti anggota Perikatan Nasional yang sah,” katanya dalam kenyataan petang ini.
Azmin turut menegaskan bahawa Abdul Hadi tidak mempunyai hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam gabungan berkenaan.
Beliau berkata, kenyataan semberono Abdul Hadi menunjukkan bahawa Presiden Pas itu tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan Perikatan Nasional.
“Presiden Pas tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam Perikatan Nasional.
“Tindakan Pengerusi dan Setiausaha Agung PN menghalang wakil Bersatu menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi gabungan itu pada 16 Julai lalu yang membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan baru-baru ini adalah bercanggah dengan Perlembagaan Perikatan Nasional,” katanya.
Susulan itu kata Azmin, beliau akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia berhubung pelanggaran perlembagaan yang serius ini.
Tegas beliau, PN yang dikuasai oleh Pas tidak lagi menjunjung Perlembagaan PN, mengenepikan prinsip tadbir urus yang baik, bertindak secara semberono dan tidak demokratik.
“Bersatu bertegas akan bertindak mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan serta akan sentiasa mempertahankan prinsip keadilan dan kesederhanaan dalam menjamin masa depan Malaysia yang bermaruah dan makmur untuk semua rakyat,” tambahnya.
No comments:
Post a Comment