BOLEHKAH ISMAIL SABRI JADI PM

 

Berikutan perlantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri seperti tidak begitu diraikan berbanding semua pemimpin yang pernah dilantik ke jawatan itu sebelum ini, ada yang melontarkan persoalan, bolehkah Ismail Sabri Yaakob jadi Perdana Menteri?

Di hari-hari awal perlantikannya pada 7 Julai lalu, bersama desakan oleh UMNO agar Mahiaddin Md Yasin segera meletakkan jawatan, terdapat beberapa pemimpin parti itu yang menyebut nama beliau sebagai bakal pengisi jawatan Perdana Menteri.

Seolah-olahnya dengan penarikan sokongan oleh UMNO itu, Mahiaddin akan jatuh tersemban dan Ismail Sabri boleh terus memangku jawatan tersebut.

Tetapi, selepas beberapa hari berlalu dan perkara itu tidak berlaku sehinggalah ke hari ini di mana Mahiaddin terus kekal di persada kuasanya, tidak kedengaran lagi nama Ismail Sabri disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri.

Lalu, berpeluang atau tidak sebenarnya beliau jadi Perdana Menteri?

Meskipun rezeki mendapat jawatan adalah ketentuan yang hanya Tuhan saja tahu rahsianya, namun secara umumnya perlantikan seseorang untuk mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri biasanya didorong oleh sekurang-kurangnya dua faktor.

Pertama, untuk membantu Perdana Menteri dan kedua, dipersiapkan sebagai bakal Perdana Menteri.

Tetapi, Ismail Sabri tidak didorong oleh kedua-dua faktor itu sebagai sebab mengapa beliau dilantik oleh Mahiaddin bagi mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Oleh kerana sudah ada empat menteri kanan, Mahiaddin sebenarnya tidak memerlukan langsung Ismail Sabri untuk membantunya sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam mengurus pentadbiran kerajaan.

Jauh sekali dengan melantik Ismail Sabri itu merupakan persiapan untuk Mahiaddin meletakkan Ahli Parlimen Bera itu menggantikan tempatnya sebagai Perdana Menteri.

Sebab utama Mahiaddin melantik Naib Presiden UMNO itu adalah semata-mata untuk memecah-belahkan UMNO dan bagi memastikan beliau dapat bertahan lebih lama lagi bersama kuasanya di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Itulah sebabnya beliau ditawarkan jawatan nombor dua dalam kerajaan itu hanya beberapa jam sebelum MT UMNO bermesyuarat pada 7 Julai lalu yang jadualnya pada malam tersebut ialah untuk menentukan kedudukan parti itu dalam kerajaan PN.

Jika Ismail Sabri dilantik kerana kelayakannya untuk menjadi pengganti Perdana Menteri, pastilah sudah lama sebelum ini lagi Mahiaddin melantiknya sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Lagi pula, memandangkan Mahiaddin adalah daripada Bersatu dan kini secara rasminya telah dimusuhi oleh UMNO melalui keputusan menarik sokongan terhadapnya, tidak ada logik sama sekali beliau mahu menyerahkan kuasa secara percuma kepada pemimpin daripada parti yang sah bermusuh dengannya.

Meskipun mesyuarat MT UMNO pada 7 Julai lalu tetap mengambil ketetapan menarik sokongan terhadap Mahiaddin, tetapi ia tidak disertai dengan penarikan diri UMNO secara rasmi daripada kerajaan.

Malah, Ismail Sabri yang baru dinaikkan pangkat, sebagaimana audio rakamannya dalam mesyuarat MT yang tular di media sosial, telah mempertahankan pendirian tidak perlunya untuk waktu ini UMNO menarik diri daripada kerajaan.

Di sinilah terserlahnya muslihat Mahiaddin dalam melantik Ismail Sabri itu kerana akhirnya terbukti dengan perlantikan itu beliau tidak dijatuhkan, walaupun setelah UMNO menarik sokongan kepadanya.

Sebaliknya, sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang diberi pelbagai kedudukan dalam kerajaan kekal kukuh terhadap Perdana Menteri, termasuk Ismail Sabri sendiri yang terlihat tidak mahu melepaskan peluang memegang jawatan yang mungkin selama ini tidak terfikir mampu digenggamnya.

Jika tiada perlantikan Timbalan Perdana Menteri oleh Mahiddin sebelum mesyuarat MT itu, tidak mustahil UMNO akan membuat keputusan menarik sokongan terhadap Mahiaddin bersekali dengan keluar daripada kerajaan sepertimana itulah yang sebenarnya diputuskan dan dikehendaki oleh perwakilan PAU2020, Mac lalu.

Dengan demikian, kemungkinan Mahiaddin tumbang adalah besar sekali.

Pun begitu, selain dengan memberi jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada UMNO telah membolehkan Mahiaddin terus kekal, beradanya Ismail Sabri di jawatan nombor dua dalam kerajaan itu juga dengan sendirinya akan menyebabkan pengaruh Zahid Hamidi bakal dikurangkan secara beransur-ansur.

Berdasarkan kedudukan sebagai Timbalan Perdana Menteri mempunyai peruntukan pembangunan sebanyak RM600 juta setahun dan mustahil Ismail Sabri tidak tahu memanfaatnya , beliau pastinya akan menjadi “ibu gula baru” dalam UMNO yang menyebabkannya lebih dikerumuni dan dijulang berbanding Presiden dan Timbalan Presiden yang tiada apa-apa jawatan dalam kerajaan.

Dengan yang demikian, kedudukan Zahid Hamidi dan Mohamad Hasan secara beransur-ansur akan terus tersisih, malah tidak mustahil ada yang mendesak agar Ismail Sabri diletakkan sebagai calon Perdana Menteri bagi UMNO dalam PRU15 akan datang nanti.

Persoalan utama sekali lagi, ada peluangkah untuk Ismail Sabri jadi Perdana Menteri?

Apatah lagi dengan kunjungan Najib Razak ke pejabat Timbalan Perdana Menteri dua hari lalu, ramai yang melihatnya sebagai pengiktifaran terbuka UMNO terhadap kedudukan Ismail Sabri, di sebalik parti itu telah menarik sokongan terhadap Mahiaddin.

Mungkin UMNO ada perkiraan sendiri melalui Ismail Sabri, tetapi mengambil kira perlantikannya adalah untuk memecah-belahkan UMNO, tidak mungkin Mahiaddin akan berundur daripada jawatannya dalam waktu terdekat ini untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada timbalannya.

Selagi mampu bertahan, Mahiaddin akan terus bertahan dan kiranya dijatuhkan pun, beliau pasti akan memilih untuk membubarkan Parlimen atau meletakkan jawatan yang bermakna seluruh kabinet akan tergugur dengan sendirinya.

Menyerahkan jawatan Perdana Menteri tidak mungkin sama sekali kerana ia bukan saja bererti menyerahkan kuasa kepada UMNO yang bermusuh dengan Bersatu, malah ia seperti Mahiaddin membubuh racun kepada partinya sendiri.

Ismail Sabri barangkali hanya berpeluang menjadi pemangku Perdana Menteri jika sekiranya umur Mahiaddin tidak panjang dan dipanggil mengadap Tuhan dalam waktu terdekat ini.

Itu pun belum tentu beliau berpeluang menjadi Perdana Menteri yang sah selepas itu, melainkan jika kumpulan Azmin Ali dan Hamzah Zainuddin daripada Bersatu sedia memberi sokongan kepadanya.

Tetapi, sokongan kumpulan Azmin dan Hamzah itu tentunya perlu dibalas oleh UMNO dengan memberi laluan dan sokongan kepada mereka untuk terus bertanding di kerusi-kerusi Parlimen mereka sedia ada dalam PRU akan datang yang sekaligus bermakna UMNO perlu bekerjasama dengan Bersatu, suatu tindakan yang bercanggah dengan ketetapan PAU2020.

Sediakah UMNO? (ShahbudinHusin 23/07/2021)



No comments: