Pas gagal tonjol Islam versi memimpin Oleh MOHD ARIF JUHANI / July 24, 2021

 


Impian besar Pas sejak ditubuhkan adalah mendirikan sebuah negara Islam walaupun tidak pasti negara mana yang dijadikan rujukan parti itu setelah berjaya membentuk kerajaan dan menyusun pentadbiran kerajaan.

Seperti mudah difahami, Pas sentiasa mempunyai idea yang simplistik dalam menguruskan negara. Bagi membuktikan kemampuan Islam mengurus pentadbiran negara, cukup bagi Pas dengan memetik pelbagai babak-babak yang berlaku dalam sejarah Islam.

Kemampuan kerajaan Islam dahulu menguasai dua pertiga dunia juga sering menjelma sebagai ingatan Pas kepada sekalian ahlinya tentang potensi agama ini muncul sebagai satu kuasa dunia. Ini bukan sesuatu yang janggal. Memang sejarah Islam sentiasa menjadi penghayatan kepada semua gerakan Islam.

Sama ada konteks kerajaan Islam dahulu dengan sekarang masih sesuai untuk dijadikan model atau tidak, hal ini jarang-jarang dibincangkan dalam kalangan gerakan Islam.

Sebaliknya apa yang lebih menguasai minda dan fikiran mereka adalah semangat Islam semata-mata tanpa sebarang wacana yang lebih terfokus, mendalam dan kritikal.

Tetapi kebanyakan gerakan Islam termasuk Pas percaya bahawa sejarah kepimpinan Islam adalah acuan yang mesti dipraktikkan oleh mana-mana gerakan politik Islam yang bercita-cita menubuhkan sebuah negara. Mungkin lebib sedap disebut daulah kerana lebih Arab dan berbaur haraki.

Bagi Pas, sebuah pemerintahan Islam yang tulen mesti ditubuhkan sebagai pesaing kepada kerajaan lain yang berideologi kapitalis, liberal, komunis, sosialis dan sebagainya.

Program-program anjuran Pas juga tidaklah begitu cenderung untuk membincangkan secara terbuka konsep-konsep begini melainkan akan berpenghujung kepada tanggapan negatif yang mudah terhadap sekularisme, liberalisme dan pelbagai ideologi lain.

Masalah sekarang adalah kebanyakan kitab fiqh tidak banyak membincangkan soal pentadbiran negara dalam konteks moden yang mana tidak boleh meminggirkan soal demokrasi, Parlimen, hak asasi manusia dan sebagainya. Sekurang-kurangnya masalah ini telah disinggung lebih awal oleh Hamka dalam bukunya Negara Islam.

Tentunya apabila Pas bercakap soal merebut kuasa, perkara yang mereka tegaskan adalah penghapusan sumber-sumber maksiat dan dosa besar seperti kasino, premis nombor ekor, pusat karaoke, rumah urut, jualan arak dan sebagainya.

Pas juga hingga kini masih menjadikan Kelantan yang memiliki populasi Melayu-Islam yang besar sebagai model pentadbiran jika berjaya menguasai Putrajaya.

Pemimpin dan pemidato Pas yang sudah tua atau yang setahun jagung sering menggunakan tindakan almarhum Tuan Guru Nik Aziz yang memindahkan gaji para penjawat awam di negeri itu daripada bank konvensional kepada bank Islam sebagai kesungguhan Pas memastikan kewangan lebih bersifat Islamik. Cerita itu tentu masih terus diulang-ulang sehingga kini.

Pada tekak pemimpin Pas, mengubah negara menjadi begitu mudah dengan pendekatan yang diidentitikan dengan nama ‘Islam’. Maka demikianlah dengan mudahnya mereka menganggap cukai termasuklah GST sebagai satu kezaliman pemerintah kepada rakyat yang susah.

Pas menganggap kerajaan sepatutnya menggunakan sumber kekayaan negara seperti petroleum untuk membantu rakyat. Kononnya begitulah caranya Islam memerintah.

Tatkala dilanda bibit-bibit perpecahan, Pas pula disogokkan dengan kebenaran untuk membawa Rang Undang-Undang 355 yang turut disalah anggap oleh pemimpin Pas sebagai hukuman hudud.

Dalam benak sekalian ahli dan pemimpin Pas, sistem perundangan Islam adalah umpama kayu ajaib yang mampu memulihkan masalah negara dengan sedikit bacaan jampi serapah dan hayunan kayu.

Doktrin ‘Islam adalah penyelesaian’ memang dianggap mudah oleh Pas. Samalah seperti anggapan Presiden Pas Abdul Hadi Awang yang percaya masalah ekonomi boleh selesai dengan memilih Islam.

Malangnya selepas diuji Allah apabila Pas mendapat kuasa dengan berkomplot bersama sekumpulan pengkhianat, maka tertubuhlah sebuah kerajaan tebuk atap dan pintu belakang.

Pada awal penubuhan kerajaan, Pas dengan bangganya menganggap bahawa kerajaan ini sebagai kerajaan Melayu-Islam yang akan memartabatkan agama Islam dan maruah bangsa Melayu.

Namun selepas setahun penubuhan, seperti tidak kelihatan di manakah keunggulan pentadbiran Melayu-Islam yang dicanang-canang oleh Pas. Ahli-ahli Pas juga nampaknya seperti tidak keruan untuk membela para pemimpin mereka yang kini merupakan sebahagian daripada anggota kerajaan.

Suara-suara perjuangan RUU 355 juga semakin malu-malu disebut atau dilaungkan oleh Pas dan Harakah.

Bukan sahaja di persekutuan Pas tidak mampu menjadi nilai tambah yang berkesan kepada kerajaan, hatta di Kelantan juga Pas seperti kehilangan punca.

Konsep pentadbiran Membangun Bersama Islam juga tidak kelihatan malah untuk menyediakan kemudahan asas seperti air bersih dan sempurna kepada sekalian penduduk negeri itu juga mengambil masa puluhan tahun.

Pengakuan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man tentang perbezaan semasa parti itu menjadi pembangkang dan selepas menjadi kerajaan sudah cukup menjelaskan sikap hipokrit atau munafik para pemimpinnya.

Tanpa berselindung, beliau sendiri mengakui bahawa desakan seperti RUU355 yang dibawa oleh Pas dahulu hanyalah dibuat kerana mereka merupakan parti pembangkang.

Seperti mengakui perjuangan itu dibuat tanpa menggunakan otak, Tuan Ibrahim berkata, kerja pembangkang mudah: desak sahaja tanpa perlu memahami prosedur dan aturan kerana mereka pembangkang.

Demikianlah cara Pas berjuang. Alasan yang digunakan untuk berdalih cukup mudah. Begitulah rendahnya juga mereka meletakkan kedudukan Islam dalam perjuangan selama ini.

Pas juga kelihatan tidak mampu untuk menjadi suara penting dalam kerajaan apabila tidak banyak kepentingan umat Islam diperjuangkan. Hatta isu kematian anggota bomba, Allahyarham Mohd Adib juga dibiarkan senyap begitu sahaja walaupun dahulu mereka menganggap isu itu sebagai menyentuh sensitiviti dan kepentingan umat Islam.

Sepanjang PKP berlangsung, dengan wujudnya tren bunuh diri, keganasan domestik, Pas juga gagal berperanan penting sebagai kerajaan. Siti Zailah Mohd Yusoff yang merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang dahulunya cukup lantang menyentuh isu aurat, kekeluargaan juga sunyi sepi daripada memberikan jalan penyelesaian mengikut panduan Islam kepada masalah yang dihadapi rakyat ketika ini.

Jika tidak mampu menjadi salah satu komponen penting kepada kerajaan, paling tidak bersuaralah dengan lantang untuk menegur kerajaan. Malangnya tulisan Abdul Hadi Awang pula lebih cenderung menyalahkan orang lain daripada menegur kerajaan.

Sikap dan pendirian Pas dahulu yang kononnya bersedia untuk ditegur selepas menjadi pemerintah, rupa-rupanya hanyalah omongan semata-mata.

Membaca tulisan Abdul Hadi Awang yang lebih sudu dari kuah memainkan peranan pertahankan kerajaan, terasa seolah-olah beliau kini merupakan RTM dan TV3 yang cukup aktif membawa propaganda kerajaan.

Lebih jauh lagi, melihat Abdul Hadi kini, seolah-olah melihat satu ulangan kepada serangan beliau kepada agamawan yang pro-kerajaan dahulu yang pernah dituduh sebagai ‘syaitan bisu’.

Sama ada Abdul Hadi kini sedang menelan sumpahan ‘syaitan bisu’ atau tidak, biarlah waktu yang menentukan. Tetapi kesimpulannya, Pas merupakan contoh kegagalan parti politik Islam dalam mengemukakan versi Islam yang memerintah.

No comments: