KUALA LUMPUR – Ahli-ahli Parlimen
pembangkang, bebas dan UMNO diingatkan agar tidak menjadi tunggul sewaktu
sidang Parlimen yang bermula Isnin ini.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Puad Zakarshi berkata,
ahli-ahli Parlimen juga jangan jadi pelakon kalau sidang Parlimen ini hanya
satu drama semata-mata.
Dalam hantaran di Facebook beliau,
veteran UMNO itu berharap semoga Parlimen yang telah ‘dimandulkan’, tidak
‘mandul’ berpanjangan apabila kembali bersidang hari Isnin ini.
Katanya, ahli Parlimen dibenarkan mengemukakan soalan dan
pandangan sepanjang lima sesi taklimat oleh menteri-menteri berkaitan walaupun
tidak ada kenyataan jelas 12 dokumen (3 proklamasi darurat dan 9 ordinan
darurat) yang dibentangkan itu akan “dibahas dan diundi”.
”Ingatlah YDP Agong telah bertitah pada 29 Jun 2021.
Pengisytiharan darurat dan ordinan darurat mesti dibahas oleh ahli Parlimen di
bawah Artikel 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.
”Ahli Parlimen
dipertanggungjawabkan dengan amanah rakyat. Tunaikan titah YDP Agong itu.,”
katanya. – MalaysiaGazette