Kenyataan pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mengecam
Pembangkang kononnya mahu menggunakan proses persidangan Parlimen 26 Julai ini
untuk mengambilalih kuasa dilihat amat melucukan.
Menurut pakar undang-undang Perlembagaan, Dr Aziz Bari, persoalan
yang harus dijawab terlebih dahulu oleh PN adakah kerajaan semasa diangkat
sebagai pemerintah melalui proses Pilihan Raya Umum (PRU) atau melalui 'pintu
belakang'.
Bagi beliau, sebaiknya ahli politik pemerintah mencermin diri
mereka sendiri sebelum mengeluarkan ungkapan 'Pembangkang jangan menjatuhkan
kerajaan PN dan bersabar menunggu PRU 15'.
"Kalau sekarang dikatakan Parlimen jangan dijadikan medan dan
kalau nak berkuasa tunggulah PRU 15, soalnya kita tahu siapa yang menjadi
kerajaan tanpa PRU.
"Rasanya kalau sekiranya mahu ada kerajaan baru tanpa PRU,
boleh juga. Saya tak fikir Ahli Parlimen yang ada 220 orang ini tidak mempunyai
kesedaran.
"Saya rasa kalau mereka diberikan ruang untuk menentukan
siapa lebih kompeten mentadbir negara, mereka tahu. Cuma peluang tidak
diberikan," katanya dalam forum maya Wacana Sinar Harian: "Buka
Parlimen: Kuasa atau Rakyat?", malam tadi.
ADUN Tebing Tinggi itu juga menjelaskan persoalan bahawa Parlimen
selama ini tidak pernah digunakan oleh anggota pembangkang untuk agenda
peribadi, tetapi yang jelas mempunyai agenda peribadi adalah pihak yang
menyekat berulang kali Parlimen daripada dibuka.
"Sekarang soalnya telah banyak kali (Parlimen) disekat dan
akhirnya dibuka juga. Kita tahu siapa yang tidak meletakkan kepentingan negara
atas kepentingan peribadi.
"Ahli Parlimen tahu tugas mereka dan berilah peluang mereka
menjalankan tugas," katanya lagi.