Dedahkan hasil siasatan ke atas Rina Harun, Ahli Parlimen beritahu SPRM

 

Lima ahli Parlimen pembangkang meminta SPRM mendedahkan bagaimana Rina Harun berjaya mengumpul kekayaan dan mempunyai sumber untuk melunaskan hutang berjuta ringgit dalam tempoh singkat.

 


PETALING JAYA: Lima ahli Parlimen pembangkang menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan hasil siasatan ke atas keupayaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun melangsaikan hutang berjuta ringgit.

Ahli Parlimen daripada lima parti berlainan itu mahu SPRM mendedahkan bagaimana Rina berjaya mengumpul kekayaan dan mempunyai sumber untuk melunaskan hutangnya dalam tempoh singkat kerana ini tidak mungkin dapat dilaksanakan berdasarkan asetnya yang diisytiharkan lebih setahun lalu.

“Tindakan melambatkan siasatan ke atas menteri Perikatan Nasional ini hanya menimbulkan persepsi negatif orang awam terhadap integriti SPRM sebagai sebuah badan yang bebas, adil dan mempunyai martabat tinggi untuk membanteras amalan rasuah dalam negara,” katanya dalam kenyataan.

Mereka berkata, malang bagi kerajaan “sehingga terpaksa menggunakan institusi seperti SPRM untuk menekan ahli Parlimen yang tidak bersama mereka dan kekal berkuasa”.

Lima ahli Parlimen itu ialah Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub, Setiausaha Agung Pejuang, Amiruddin Hamzah, Ketua Wanita Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis, Ahli Parlimen dari PKR, Sivarasa Rasiah serta Teo Nie Ching dari DAP.

Satu laporan SPRM dibuat terhadap Rina pada Februari lalu yang menggesa agensi antirasuah itu menyiasat bagaimana ahli Parlimen Bersatu itu dapat melangsaikan hutangnya kepada sebuah syarikat penerbitan berpangkalan di Paris.

Rina, yang mengetuai sayap Wanita Bersatu, mendapat notis bankrap atas hutangnya kepada Novovision berjumlah RM1,340,642.02 setakat 17 Nov 2020.

Peguam Mark Ho, yang mewakili syarikat Perancis itu berkata, jumlah tertunggak sebenarnya yang enggan didedahkannya, dibayar pada awal Februari lalu.

Satu pernyataan tuntutan terhadap Rina yang difailkan syarikat itu pada 8 Nov 2018 menyatakan jumlah penuh perlu dibayar sebelum 31 Julai 2019.

Tuntutan itu untuk beberapa filem, persembahan komedi dan dokumentari komedi yang dijual kepada tiga syarikat, dengan Rina ialah pengarah.

Dalam pada itu, lima ahli Parlimen itu turut menyatakan sokongan mereka kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi dua pertuduhan penyelewengan RM1.12 juta milik Pemuda Bersatu.

Mereka membidas pendakwaan ke atas pengasas MUDA itu bermotifkan politik yang bertujuan memberi tekanan kepadanya beberapa hari sebelum Parlimen bersidang Isnin ini.

No comments: