Tiada masalah konsep e-bazar Ramadan – MB Selangor
Selangor akan meneruskan e-bazar Ramadan yang telah dirancang kerana konsepnya tidak ada perbezaan dengan menempah makanan di restoran dan dihantar melalui penghantar makanan.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, pada masa ini kerajaan Perikatan Nasional membenarkan tempahan makanan di restoran dan mungkin bercanggah dengan pengumuman terbaharu, iaitu tidak membenarkan semua bentuk bazar Ramadan, sama ada “pandu lalu” atau “tempah dan ambil”.
Amiruddin berkata, kerajaan negeri akan merujuk bidang kuasanya dan tidak akan melanggar peraturan kerajaan pusat dalam melaksanakan e-Bazar Ramadan.
Menurutnya, dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), Selangor juga meneruskan bazar agro yang dibenarkan beroperasi melalui khidmat pesanan e-hailing.
“Konteks perkhidmatan e-hailing ini ialah penghantaran makanan. Jadi pada waktu ini, restoran masih boleh operasi dan hantar makanan.
“Pada waktu ini, sebagai contoh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) membuat pasar tani yang kita namakan Selangor Bazar atau Selangor Agro Market yang juga konsepkan pembukaan gerai barangan dan penghantaran makanan serta barangan dipesan,” katanya dalam temu bual mengenai wabak Covid-19 yang disiarkan di laman Facebook malam ini.
Terdahulu hari ini, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan membenarkan semua bentuk bazar Ramadan, sama ada “pandu lalu” atau “tempah dan ambil” seperti yang dicadangkan sebelum ini sebagai alternatif bagi bulan puasa akan datang.
Ismail memaklumkan keputusan itu dalam sidang media harian beliau berhubung pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Katanya, larangan itu termasuklah perniagaan e-bazar yang melibatkan gerai bazar Ramadan di mana pembeli perlu ke tapak jualan untuk mengambil makanan.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, pendirian kerajaan negeri itu bukanlah untuk mengagalkan usaha kerajaan pusat dalam memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.
Beliau berkata, kerajaan negeri Selangor hanya mahu memastikan peniaga tidak terjejas ekonomi mereka di samping dapat melaksanakan dan membudayakan perniagaan atas talian yang semakin berkembang secara positif.
“Saya percaya peringkat negeri tak ada fahaman itu dan memang tak ada usaha nak gagalkan. Malah kerjaaan negeri ada usaha tambahan dalam putuskan rantaian Covid-19,” katanya.
Amirudin juga berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan mekanisme pelaksanaan e-bazar di Selangor minggu ini atau minggu depan.
Beliau berkata, sebanyak 15 tempat dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan untuk dijadikan dapur berpusat.
“Di peringkat kerajaan negeri, pelaksanaan akan diselaras oleh Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) dan Hijrah.
“Setiap dapur berpusat akan ada 10 hingga 20 peniaga untuk pastikan penjarakkannya,” katanya.