Walaupun Presiden PKR, Anwar Ibrahim sudah menjelaskan intipati perbincangannya dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin baru-baru ini adalah berkaitan usaha menangani wabak Covid-19 serta perlunya sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkannya, nampaknya masih ramai yang tidak mempercayainya.
Ramai yang membuat tuduhan, terutama mereka yang pro UMNO bahawa Anwar didakwa telah membincangkan soal penyertaan PKR ke dalam PN dalam pertemuan dengan Muhyiddin itu.
Seterusnya, Anwar juga diheboh-hebohkan menuntut jawatan Timbalan Perdana Menteri jika penyertaan PKR ke dalam PN itu menjadi kenyataan.
Mereka mendakwa, itulah sebenarnya yang menyebabkan pertemuan Anwar dengan Muhyiddin itu berlanjutan sehingga 45 minit lamanya.
Kalau sekadar bercakap soal Covid-19 dan sidang khas Parlimen, paling-paling pertemuan itu hanya perlu selama 15 minit saja, kata mereka lagi.
Keinginan Muhyiddin mengajak Anwar bersama dalam PN turut diperkuatkan lagi dengan teori pihak lain berdasarkan rungutan tak sudah-sudah pihak dalam UMNO yang seolah-olah masih tak puas hati dengan kedudukan mereka dalam kerajaan.
Mereka masih meniupkan sentimen bahawa Muhyiddin tidak berlaku adil kepada UMNO berbanding kumpulan Azmin Ali dan Bersatu, walaupun parti itu menyumbang paling banyak kerusi dalam PN.
Lantaran merasakan UMNO hanyalah penumpang semata-mata, mereka mengatakan sebab itulah hanya kementerian-kementerian yang kurang penting diperuntukkan kepada parti itu.
Dari segi Muhyiddin, memang tidak mustahil untuk beliau mengajak Anwar dan PKR untuk bersamanya dalam kerajaan, lebih-lebih lagi jika difahami kedudukannya yang tidak stabil dalam Bersatu serta jika tiba-tiba UMNO buat hal terhadapnya.
Tetapi, harus juga difahami tentang pendirian Anwar yang sentiasa komited kepada PH dan tidak sesekali akan meninggalkan DAP dan Amanah dalam sebarang keputusan yang bakal dibuatnya.
Dalam konteks ini, Muhyiddin mungkin perlukan Anwar dan PKR, tetapi barangkali masih tidak bersedia untuk menerima DAP, tambahan lagi kerana ingin putus hubungan dengan DAPlah yang dijadikan asas ketika beliau beria-ia membawa Bersatu keluar daripada PH sebelum ini.
Maka, jika kerjasama itu menjadi keinginan Muhyiddin, pertembungan yang berlaku ialah berkenaan kedudukan DAP.
Anwar bukan saja tidak mungkin meninggalkan DAP serta Amanah, bahkan tentu saja sukar untuk berada di dalam kerajaan tebuk atap Muhyiddin yang ada kumpulan Azmin dan Pas di dalamnya.
Untuk itu, kerjasama politik antara Muhyiddin dengan Anwar dan PKR sebenarnya sangat sukar untuk menjadi kenyataan.
Anwar adalah pemimpin yang berpegang kepada setiakawan dan tidak akan sebegitu mudah meninggalkan rakan-rakan atau menggadai prinsipnya semata-mata kerana jawatan.
Lagi pula, kerajaan PN ini adalah kerajaan tebuk atap dan mustahil Anwar juga masuk melalui atap untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.
Laluan Anwar dan PH untuk kembali menjadi kerajaan ialah sama ada melalui usul undi tidak percaya di Parlimen atau bersabar sikit melalui kuasa rakyat dalam PRU15 akan datang.
Melihat kepada caca-marba kerajaan PN dan hakikat bahawa sokongan UMNO kepada Muhyiddin hanya sementara tibanya PRU15 saja, selepas itu di mana Bersatu akan bertanding masih menjadi misteri tanpa jawapan, realitinya cahaya di hujung terowong pilihanraya akan datang adalah cerah buat Anwar dan PH.
(ShahbudinHusin 17/04/2020)