Meski berbeza pandangan, Anwar bela PAS di luar negara


W.FAUDZIN




Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata meskipun beliau tidak bersetuju dengan PAS dalam beberapa perkara tetapi beliau mempertahankan parti itu apabila dunia luar beri gambaran negatif terhadap PAS.

Bagaimanapun, Anwar turut membangkitkan beberapa isu yang beliau tidak bersetuju dengan pendirian PAS, antaranya isu gesaan pelaksanaan hudud sewaktu PAS berada dalam gabungan Pakatan Rakyat dan pengkhianatan PAS bersama kerajaan Perikatan Nasional.


“Saya sepanjang peluang saya berpidato di Barat atau Eropah, dunia Arab atau Asia, (saya) selalu ditanya (adakah) PAS ni Taliban, parti yang jumud dan kolot. Saya pertahankan.

“Saya kata PAS sekurang-kurangnya dia masih patuh pada perlembagaan dan undang-undang.
“Ada kadang-kadang pandangan dia tu nampak bercanggah betul, terutamanya dulu masa dalam Pakatan Rakyat, perang (bergaduh) teruk benar soal RUU355, aspek hudud, tiada tolak ansur, tidak bersedia kerjasama dengan Pakatan Rakyat khususnya DAP selagi tak dilaksanakan RUU355,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam siaran langsung Facebook hari ini, sebagai menjawab soalan adakah dasar PAS boleh menghancurkan negara dan membawa kepada jurang kemusnahan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bagaimanapun tidak bersetuju bahawa PAS boleh menghancurkan dan boleh membawa kemusnahan kepada negara.

Takkan lupa jasa baik PAS

“Tapi adakah saya setuju dengan pendirian PAS terutama dengan isu penglibatan mereka dengan pengkhianatan ini, dan sebagainya, saya tak setuju.

“Jadi kita harus jaga supaya perbezaan pendapat kita itu tak melanggar tatasusila akhlak dan memfitnah orang lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mengimbas semula hubungan baiknya dengan bekas presiden PAS, Allahyarham Fadzil Noor dan bekas mursyidul am, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Walaupun saya diserang..tidak oleh PAS. PAS sejarah dengan saya itu sangat baik. Almarhum Fadzil Noor sebagai presiden PAS adalah saya anggap sebagai sahabat, sama ada di dalam PAS, sebelumnya dalam Abim (Angkatan Belia Islam Malaysia), sehinggalah dia pulang ke rahmahtullah.

“Tuan guru Nik Aziz adalah pemimpin yang saya sangat hormat dan ada hubungan akrab dan peribadi dengan dia dan mungkin pada masa lain saya ceritakan bagaimana dia sentiasa mendoakan, walaupun saya bukan ahli PAS, dia tetap mendoakan agar saya menjadi perdana menteri yang berjaya.

“Jadi oleh yang demikian, saya tak bermaksud menggunakan ruang untuk mengecam PAS kerana PAS dalam parti, mempunyai sejarah yang gemilang juga,” katanya.

Katanya, beliau tidak akan melupakan jasa baik dan budi pemimpin dan ahli-ahli PAS terutama ketika beliau dan keluarganya pernah menderita begitu lama.



No comments: