Malaysia hilang hasil minyak AS$7 bilion setahun, ekonomi tertekan
Banyak pihak dalam kerajaan Melayu Perikatan Nasional menggambarkan ekonomi Malaysia kebal sepanjang tempoh wabak Covid 19.
Malah pertumbuhan KDNK pada 2021 diramal 9%, antara negara yang tertinggi pertumbuhannya di dunia serta paling tinggi di Asia sebaik sahaja wabak Covid berakhir.
Namun realiti tidaklah seindah ramalan. Petroleum merupakan penyumbang terbesar bajet negara sehingga 35% bahagian hasil. Oleh kerana harga petroleum dijangka rendah sepanjang 10 tahun ke hadapan maka ekonomi Malaysia dijangka lembab.
Bagi Felow kanan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) ramalan Malaysia mungkin hilang lebih RM300 bilion hasil dalam tempoh 10 tahun akan datang sekiranya harga minyak kekal rendah adalah lebih relevan berbanding pertumbuhan tinggi.
Profesor madya di Asia School of Business Renato Lima de Oliveira berkata, berdasarkan kajian lapangan, jika harga minyak kekal di paras AS$30 satu tong hingga 2030, dunia akan menyaksikan pengurangan sehingga AS$170 bilion pelaburan modal dalam kapasiti pengeluaran baru dan AS$616 bilion hasil kerajaan.
Untuk itu, Oliveira berkata, Malaysia dijangka hilang AS$1.7 bilion pelaburan modal baru dan pengurangan hasil daripada minyak dan gas sebanyak AS$7.1 bilion setiap tahun
“Dalam jangka pendek, industri minyak berdepan masalah kekurangan permintaan akibat wabak Covid-19. Kira-kira 75% permintaan minyak digunakan untuk pengangkutan, dan langkah sekatan pergerakan menghentikan mobiliti.
“Dasar duduk di rumah memberi kesan besar ke atas sektor minyak,” katanya pada satu perbincangan webinar dianjurkan oleh Centre for Market Education (CME).
Beliau juga berkata, keadaan itu menunjukkan betapa Malaysia perlu mempelbagaikan sumber hasilnya untuk tidak terlalu bergantung pada minyak, selain mengambil langkah inovatif dalam sektor minyak dan gas bagi mengurangkan kos.
Katanya, negara pengeluar utama minyak iaitu Arab Saudi dan Rusia terlibat dalam perang harga sejak Mac.
“Pada masa itu, kes Covid-19 tidak sampai 150,000, tetapi dalam tempoh beberapa hari sahaja Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkannya sebagai pandemik dan lebih banyak negara mengambil langkah mengadakan sekatan mobiliti.
“Ini semakin meningkatkan lebihan penawaran minyak,” katanya dipetik FMT.
Beliau berkata, pada kadar sekarang, anggota Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (Opec) mempunyai rizab minyak yang dapat bertahan selama 86 tahun.
“Dengan penurunan kos dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharu dan kemajuan yang dicapai dalam kenderaan elektrik serta teknologi bateri, Arab Saudi dan negara Opec lain mungkin mengubah perkiraan mereka daripada mengehadkan pengeluaran kepada memulihara rizab,” kata beliau.