MGF26032020_WAD-COVID20
Seorang petugas memakai sut PPE merehatkan diri sebelum melakukan kerja-kerja merawat pesakit Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 26 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua kawasan di Simpang Renggam, Johor berikutan jumah kes baharu positif Covid-19 yang tinggi di kawasan tersebut mulai tengah malam semalam.
Kawasan yang terlibat adalah Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid, Simpang Renggam, Kluang, Johor.
Perintah tersebut melibatkan 3,570 orang penduduk tempatan daripada 650 keluarga berkuatkuasa mulai tengah malam ini, 27 Mac 2020 hingga 9 April 2020.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan terdapat 83 kes positif jangkitan COVID-19 di Daerah Kluang, Johor.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 61 kes adalah dari Kampung Dato’ Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Dato’ Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, Johor,” kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan di sini malam semalam.
Menurut beliau, tujuan PKPD adalah untuk membendung jangkitan Covid-19 daripada menular keluar dari kawasan tersebut. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dari rumah ke rumah dilaksanakan sepanjang tempoh 14 hari.
Dengan pelaksanaan perintah ini:
  • Semua penduduk tempatan dan pelawat yang telah berada di kedua-dua kawasan tidak dibenarkan keluar rumah sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Bukan penduduk tempatan dan pelawat tidak dibenarkan masuk ke kedua-dua kawasan sepanjang tempoh PKPD dikuatkuasakan.
  • Semua aktiviti perniagaan dihentikan.
  • Makanan asas yang mencukupi untuk tempoh 14 hari akan dibekalkan kepada semua penduduk tempatan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
  • Pangkalan Perubatan (Medical Base) akan dibuka di kawasan PKPD.
  • Semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) akan mengawal seluruh kawasan.kawasan.
“Semua penduduk diminta untuk bertenang dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada petugas-petugas dari KKM serta mematuhi semua arahan pihak berkuasa,” katanya.
Penduduk yang memerlukan bantuan atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian khas 07-7735224 / 07-7722434.