Ikan sayur dibuang: Di mana Azmin Ali

Ikan sayur dibuang: Di mana Azmin Ali
"Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azmin Ali seharusnya berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rantaian ini," kata kenyataan itu.



Peranan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan dipertikai ekoran bekalan makanan khasnya ikan dan sayur yang berkurangan di pasaran ketika kedua-duanya ada yang dibuang.
Peranan Azmin dipersoal oleh Pengerusi LKIM, Faiz Fadzil dan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dalam kenyataan bersama mereka.
“Jawatankuasa Khas Bekalan Makanan yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Azmin Ali seharusnya berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh menyelesaikan masalah rantaian ini,” kata kenyataan itu.
Ini berikutan rakyat negara ini dikejutkan dengan pembuangan sayur di Cameron Highlands dan kini didapati nelayan juga membuang tangkapan mereka ke laut.
Malah tangkapan ikan oleh nelayan yang tidak dapat dihantar ke pasar, menyebabkan nelayan mengalami kerugian.
Menurut Pengerusi Persatuan Perusahaan Ikan Malaysia, Chia Tian Hee, kerugian nelayan hampir mencecah jutaan ringgit dan mereka terpaksa membuang ikan kerana penutupan pasar dan kurang sambutan orang ramai.
“Minggu lepas saya kira kerugian nelayan semua lebih daripada jutaan ringgit, bukan sikit, nak kami simpan semua ikan dalam peti sejuk beku juga tidak boleh.
“jadi terpaksa buang sahajalah,” katanya sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini semalam.
Menurut Faiz dan Sim, kes pembuangan adalah terpencil, tetapi ia membuktikan masalah dan nasib nelayan yang memerlukan pembelaan.
“Akibatnya, nelayan kini telah mengurangkan kekerapan ke laut kerana takut mengalami kerugian lagi.
“Ini akan menyebabkan masalah sekuriti makanan sekiranya Perintah Kawalan Pencegahan (PKP) berlanjutan dan masalah rantaian tidak diselesaikan.
“Pada masa yang sama, kita dapati harga barangan makanan telah meningkat naik di pasaran termasuk harga ikan, tapi pada masa yang sama ikan juga tidak berapa segar,” tegas mereka.
Soal mereka, mengapa ikan banyak didaratkan di jeti nelayan, tetapi rakyat tidak mendapat ikan yang segar dan murah.
“PKP yang tidak diselaraskan dengan baik menyebabkan ‘supply chain disruption’ berlaku dalam sektor makanan.
“Sejajar dengan itu, kerajaan harus meneliti masalah tersebut dan mempermudahkan penghantaran ikan ke pasaran tanpa mengkompromikan masalah wabak Covid 19,” tambah kenyataan tersebut.
Menurut mereka lagi, adalah dicadangkan supaya kerajaan melaksanakan ‘guaranteed buy back scheme’ untuk membeli semua ikan lebihan yang ditangkap oleh nelayan sepanjang PKP.
Tegas mereka, langkah ini akan menjamin sekuriti makanan negara dan LKIM boleh ditugaskan untuk melaksanakan skim ini kerana rangkaian persatuan nelayan dalam LKIM adalah kompeten untuk melaksanakan skim tersebut.
“LKIM juga boleh memasarkannya ke pasar nelayan dengan kadar cepat.
“Walaupun Perdana Menteri mendakwa bahawa makanan mencukupi, sebaliknya rakyat tidak dapat merasai apa yang didakwa oleh beliau.
“Kerajaan seharusnya serius menyelesaikan masalah ‘supply chain disruptions’ sebelum rakyat tidak lagi mendapat ikan segar dipasaran atau lebih parah kekurangan bekalan ikan kelak,” saran mereka.