Oleh kerana Muhyiddin Yassin nampaknya sudah memilih mahu terus berbalah dan seakan-akan telah menutup pintu rundingan dengan Tun Mahathir Mohamad berhubung siapa yang lebih berkuasa dalam Bersatu, beliau tidak ada pilihan lain selain mesti menang dalam pertembungan ini.
Baik melalui usul undi tidak percaya atau dalam pertandingan mengekalkan kedudukan sebagai Presiden Bersatu yang akan dicabar oleh Mukhriz Mahathir, jika kalah bermakna jawatan Perdana Menteri yang disandangnya juga bakal terancam sama.
Menang bukan saja satu-satunya pilihan buat Muhyiddin untuk terus bertahan di puncak kuasa sekurang-kurangnya sehingga PRU15 akan datang, bahkan kemenangan juga dengan sendiri dapat memadam rekod cemerlang Tun Mahathir yang sehingga ini telah sehingga berjaya menjatuhkan semua Perdana Menteri yang ingin dijatuhkannya.
Dalam sejarahnya, Tun Mahathir telah mengganggu dan menekan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj dan Tun Hussein Onn sehingga kedua-duanya berundur dan meletakkan jawatan.
Kemudiannya, beliau juga berkempen dan menjelajah ke seluruh negara untuk menjatuhkan Tun Abdullah Badawi dan Najib Razak, meskipun kedua-dua bekas Perdana Menteri itu adalah pilihannya dan berjaya berada di puncak kuasa melalui sokongan tak berbelah bahagi daripadanya.
Hanya Tun Razak yang tidak mendapat gangguan atau tekanan daripada Tun Mahathir, selain kerana Perdana Menteri kedua itu adalah pemimpin sanjungannya, sebab lain ialah mungkin kerana Tun Razak meninggal dunia terlalu di awal usia disebabkan sakit leukemia yang dideritanya.
Dalam sejarah juga, Tun Mahathir berjaya menjadi Perdana Menteri sebanyak dua dua kali – pertama kali pada 1981 selama 22 tahun dan selepas itu pada 2018 menerusi PH selama 22 bulan.
Ini bermakna, sejak merdeka, selain ketika dirinya memegang jawatan Perdana Menteri yang dijatuhkan oleh dirinya sendiri dengan secara tiba-tiba dan mengejut beliau meletakkan jawatan, semua perletakan jawatan dan kejatuhan Perdana Menteri lainnya tercatat ada cap jari akibat campurtangan atau gerakan yang dilakukannya.
Itulah Tun Mahathir Mohamad yang kini sedang mengejar rekod untuk menjatuhkan seorang lagi Perdana Menteri bernama Muhyiddin.
Tetapi, berbeza dengan semua Perdana Menteri lain yang telah dijatuhkannya sebelum ini, perbalahannya dengan Muhyiddin ini sudah pula bermula sebelum Presiden Bersatu itu menjadi Perdana Menteri lagi.
Bermula dengan merasakan beliau telah dikhianati oleh Muhyiddin, persengketaan mereka berterusan lagi dalam soal siapa di antara Pengerusi dan Presiden yang mempunyai kuasa sebenar dalam Bersatu.
Kini dengan Muhyiddin langsung tidak memperdulikan bantahan Tun Mahathir berhubung tindakannya memecat Marzuki Yahya selaku Setiausaha Agung, beliau mengorak pencat silatnya lagi dengan melantik Hamzah Zainuddin sebagai Setiausaha Agung Bersatu yang baru.
Muhyiddin juga memberi peruntukan RM4000 kepada setiap bahagian Bersatu untuk tujuan membantu ahli-ahli parti yang terjejas akibat Covid-19.
Sudah pasti tindakan terbaru Muhyiddin ini yang dilihat untuk mengukuhkan kedudukan dan menambah sokongan akan membuatkan Tun Mahathir yang sekarang umpama harimau luka lebih berdarah dan memendam rasa dibuatnya.
Untuk memastikan beliau benar-benar dapat menguasai Bersatu yang selama ini ditadbir bagai ada dua nakhoda, adalah dipercayai Muhyiddin selepas ini akan terus membuat beberapa keputusan yang mengejutkan dan di luar jangkaan.
Matlamat beliau tidak lain selain untuk memastikan dirinya menang sebagai Presiden, bahkan juga agar dapat menjadikan Bersatu sebagai parti yang dikuasai sepenuhnya dengan majoriti jawatan dimenangi oleh pasukannya.
Jika Muhyiddin dapat menguasai Bersatu selepas pemilihan nanti, adalah dijangka fungsi Pengerusi akan dihadkan atau tidak mustahil jawatan tersebut dihapuskan sama sekali.
Begitu pun, di sebalik itu, beberapa pemimpin PH yang ada bertemu dengan Tun Mahathir sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, tetap yakin bekas Perdana Menteri itu masih ada kekuatan untuk menjatuhkan Muhyiddin.
Salah seorang pemimpin tersebut menyatakan, Tun Mahathir lebih daripada mampu untuk berbuat demikian.
Maka, sementara Tun Mahathir kian dibelenggu usia tua, manakala Muhyiddin dikekang kudrat yang tak seberapa akibat derita kanser, siapakah mampu muncul pemenang dalam pertembungan kali ini?
Apakah Tun Mahathir akan terus berjaya menjatuhkan seorang lagi Perdana Menteri yang ingin dijatuhkannya atau kali ini Muhyiddin mampu mencatat rekod sebagai Perdana Menteri pertama yang gagal dijatuhkan oleh Tun Mahathir? (ShahbudinHusin 27/03/2020)