Menteri gagal, tetapi pecat CEO badan kebajikan yang lawan Covid-19

Menteri gagal, tetapi pecat CEO badan kebajikan yang lawan Covid-19
"Rina Mohd Harun yang langsung tidak berfungsi sebagai wakil rakyat mahu pun menteri (dulu dan sekarang) memecat CEO & Ahli Lembaga Pengarah YKN yang selalu turun padang buat kerja," kata Fahmi Fadzil.

Tindakan Menteri Wanita dan Keluarga, Rina Mohd Harun yang dianggap antara menteri yang gagal sebelum ini memecat Ketua Pegawai Eksekutif dan Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara ketika negara berhadapan dengan wabak Covid-19 dikecam.
Begitu juga tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Annuar Musa, memecat ahli Majlis Perwakilan Penduduk di seluruh Wilayah Persekutuan.
Tindakan ini dilakukan ketika sebahagian pemimpin kerajaan meminta semua pihak jangan berpolitik dan mengajak semua rakyat memberikan tumpuan kepada memerangi Covid-19.
Che Asmah (kanan sekali) antara CEO YKN yang sangat aktif turun ke bawah dalam aktiviti kebajikan dan masyarakat.


Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Datin Paduka Che Asmah Ibrahim telah ditamatkan perkhidmatan melalui satu surat yang ditandatangani oleh Rina baru-baru ini. Turut dipecat semua Ahli Lembaga Pemegang Amanah YKN.
“Janganlah berpolitik, ini masa untuk tumpu lawan virus. Saranan yang bagus,” kata Zokharnain Abidin, Pengarah Hal Ehwal Syariah AMANAH.




“Habis pemecatan Ketua Pegawai Eksekutif dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara, kalau bukan tindakan politik, tindakan apa?” soal Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiyyah (Yadim) itu melalui Facebooknya.
Beliau bertanya, “Adakah pemecatnya bukan orang politik?”
Padahal, katanya, mereka yang dipecat pula bukan orang politik, tetapi aktivis masyarakat.
YKN adalah badan di bawah Kementerian Wanita dan Keluarga yang bergerak siang dan malam bagi menjaga kebajikan rakyat.
Bagi Zolkharnain, alasan yang diberikan oleh pihak berkenaan bahawa ia bukan pemecatan tidak lojik langsung.
“Bukan pecat, penamatan perkhidmatan. Eleh… macam lobai kata, bukan pintu belakang, tebuk atap,”kata beliau menyindir kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa kerajaan ini bukan kerajaan pintu belakang tetapi tebuk ikut atap.
Bagi ahli Parlimen Lembah Pantai, fakta bahawa Rina Harun yang memecat mereka lagi mendukacitakan.
“Rina Mohd Harun yang langsung tidak berfungsi sebagai wakil rakyat mahu pun menteri (dulu dan sekarang) memecat CEO& Ahli Lembaga Pengarah YKN yang selalu turun padang buat kerja.
“Kita sedang perang Covid-19 ke perang nak rampas jawatan?