COVID-19 antara dua gelombang dan langkah Sheraton

COVID-19 antara dua gelombang dan langkah Sheraton

COVID-19 antara dua gelombang dan langkah Sheraton


Berdasarkan senario yang berlaku, gelombang pertama Covid-19, 24 Februari 2020 hingga 15 Januari 2020, Malaysia ditadbir oleh kerajaan yang dibentuk oleh Pakatan Harapan (PH), bermakna dibawah pentadbiran PH, kes Covid-19 telah berjaya diurus dengan berkesan, sehingga berjaya mewujudkan situasi tiada kes jangkitan selama 11 hari, iaitu di antara 15 Februari 2020 hingga 27 Februari 2020, boleh dikatakan 11 hari tersebut adalah jurang yang membentuk “kelompongan wabak.” Sekaligus membentuk situasi ke arah selamat jangkitan.
Situasi ini menggambarkan bahawa kerajaan yang dikuasai PH, pada masa tersebut, telah bertindak dengan tepat, pada waktu yang tepat dalam menangani penularan wabak Covid-19 tersebut.
Tindakan secara serius menggembleng segala bentuk mekanisme kemudahan perubatan, sama ada dalam aspek peralatan atau pun sumber manusia, menjadikan tindakan untuk berhadapan dengan wabak covid-19, lebih cekap dan tersusun selaras dengan prosedur standard yang diwujudkan.
Terdapat unsur yang jelas akan usaha pengesanan dan pencegahan dilakukan secara konkrit dan tuntas.
Kebekesenanan tindakan yang ditunjukkan oleh pihak Kementerian Kesihatan telah menarik perhatian pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sehingga mendapat pengiktirafan daripada Ketua Pengarahnya, laporan akhbar 19 Februari 2020 memetik sebagai berkata, “Saya amat menghargai kerjasama Malaysia dan Dr Dzulkefly serta negara serantau termasuk komitmen pihaknya menjalankan penyelidikan bagi mengakhiri wabak ini.”

Ini bererti tindakan serta langkah-langkah yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan pada waktu tersebut berada di atas landasan yang betul dalam membentuk tindakan penyelesaian dan pengawasan dilakukan berdasarkan fakta dan data yang saintifik, berpaksikan asas penyelidikan.
Pemikiran sebeginilah juga yang menjadi pegangan Kementerian Kesihatan sehingga ke saat ini, sekaligus menolak pemikiran “air suam” dalam membunuh Covid-19.
Manakala pada 21 Februari 2020, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) telah memberikan sanjungan di atas usaha yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia yang disifatkannya begitu cekap dan berkesan dalam mengendalikan kes yang berkaitan dengan Covid-19.
Ini bermakna usaha dalam menangani wabak Covid-19, gelombang pertama dilaksanakan secara drastik, objektif dan bersifat proaktif serta berfokus.
Jelasnya tindakan yang dilakukan dengan mengambil kira aspek tonggak dalam operasi perkhidmatan, berasaskan penekanan terhadap pelaksanaan proses yang melibatkan aspek peningkatan berterusan, penambahbaikan dan tindakan pembetulan.
Keadaan ini telah menjadikan segala bentuk tindakan yang diambil lebih bersifat tumpuan sasaran, menyebabkan kawalan sepenuhnya dapat dilakukan terhadap akar masalah.
Bagaimana pun menjengah gelombang kedua, didapati kerajaan telah kehilangan fokus yang telah menyebabkan berlakunya peningkatan kes jangkitan wabak Covid-19.
Keadaan ini diakui sendiri oleh Ketua Pengarah Kesihatan di atas kegagalan untuk mengesan perhimpunan Jemaah Tabligh di Masjid Seri Petaling, memandangkan kes yang berkaitan dengan Jemaah Tabligh ini terlebih dahulu dikesan oleh pihak Berkuasa Brunei Darussalam.
Bererti, pihak kerajaan seolah-olah tidak mempunyai maklumat yang konkrit berkaitan dengan aktiviti Jemaah Tabligh di Masjid Seri Petaling tersebut.
Pihak Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap ketenteraman awam, seolah-olah telah gagal dalam peranan dan tugas mereka untuk memastikan segala bentuk perhimpunan awam dipantau dan diawasi demi untuk keselamatan umum.
Bahkan sewaktu tempoh berlangsungnya perhimpunan Jemaah Tabligh tersebut, negara masih belum diisytihar bebas sepenuhnya daripada gejala wabak Covid-19, meskipun terdapat waktu “kemandulan kes” selama 11 hari, sebagaimana yang dijelaskan.
Kemungkinan besar kealpaan ini wujud disebabkan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu, terlibat langsung dengan gerakan Sheraton, pada 23 Februari 2020.
Terdapat laporan media yang membuat kesimpulan bahawa langkah Sheraton sebagai punca utama yang mencetuskan gelombang besar Covid-19, “Langkah Sheraton memusnahkan segala usaha Menteri Kesihatan ini dan pasukannya untuk mengawal penularan wabak Covid-19.”
Keadaan ini agak jelas dengan fenomena yang berlaku, selepas asakan Sheraton dan perletakan jawatan Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, didapati pentadbiran Malaysia telah berada dalam keadaan “ketidaktentuan hala.”
Wujudnya situasi “kekosongan kerajaan” selama hampir 16 hari, 24 Februari 2020 hingga 11 Mac 2020 menjadikan pentadbiran kerajaan berada dalam keadaan pasif dan reaktif.
Ketiadaan menteri yang bertanggungjawab terhadap Kementerian Kesihatan menjadikan keputusan-keputusan penting yang berkaitan dengan dasar tidak dapat dilakukan dan dilaksanakan, meskipun Perdana Menteri ke 9, telah dilantik pada 29 Februari 2020. Namun kabinet hanya mula berfungsi pada 11 Mac 2020.
Dalam jangka masa tersebut kes jangkitan wabak Covid-19 telah meningkat kepada 149 kes, manakala daripada tarikh 12 Mac hingga 18 Mac, jangkitan wabak Covid-19 telah meningkat kepada 790 kes.
Berdasarkan situasi yang berlaku, langkah atau pun gerakan Sheraton ini telah menjadi antara faktor penyebab terpenting yang merosakkan kestabilan hidup rakyat serta mengganggu realiti pertumbuhan ekonomi negara.
Hakikatnya langkah Sheraton, meletakkan keadaan rakyat Malaysia terdedah kepada bahaya yang mengancam keselamatan jiwa dan nyawa mereka, pada masa yang sama menjejaskan kestabilan psikologi dan emosi, khususnya dengan meluasnya penularan wabak Covid-19.
Ini bererti gerakan Sheraton bukan sahaja telah menimbulkan kecelaruan politik, sebaliknya juga telah mencetuskan keresahan rakyat dalam konteks jaminan keselesaan hidup dan kebebasan dalam mengurus aktiviti penjanaan pendapatan, terutamanya apabila rakyat terpaksa berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebagai tindakan pencegahan kepada penularan Covid-19.
Aktiviti ekonomi rakyat terbantut serta ramai dalam kalangan rakyat berdepan dengan risiko kesempitan hidup serta potensi kehilangan pekerjaan.
Apa yang jelas, langkah atau gerakan Sheraton, sukar untuk dinafikan sebagai pencetus kepada kerosakkan ketenteraman awam yang mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.