
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada majlis ‘A Celebration of Life and Peace, Bringing Joy to 700 Children in Kuala Lumpur’ di Hotel Mandarin Oriental pada 15 Julai 2026.
KUALA LUMPUR, 15 Jul – Mana-mana individu rakyat Israel yang didakwa memiliki dua kewarganegaraan dan menetap di negara ini, akan segera diusir, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri dalam nada tegas berkata, Malaysia tidak akan berkompromi dengan keadaan itu, jika dakwaan terbabit terbukti benar.
Beliau juga menegaskan semua agensi berkaitan sudah memulakan siasatan berhubung dakwaan berkenaan, selain Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dijangka memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.
“Semua agensi berkaitan (sedang menyiasat dakwaan ini) dan saya percaya Zambry akan beri jawapan. Kita siasat dan tidak izinkan (rakyat Israel menetap di Malaysia) kerana kita tidak iktiraf (Israel).
“Mereka akan diusir segera (jika terbukti dakwaan terbabit benar). Tetapi (dakwaan) ini semua agensi sudah menjalankan siasatan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan mengulas gesaan kerajaan Johor yang meminta pihak berkuasa menyiasat komuniti teknologi di Forest City yang dikenali sebagai ‘Network School‘ susulan ada dakwaan warga Israel dengan dua kerakyatan menetap di kawasan terbabit.

‘Network School’ ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian, dilancarkan pelabur teknologi, Balahi Srinivasan, pada 2024.
Komuniti itu menyasarkan golongan digelar ‘techno-optimist‘ dan mengenakan bayaran bernilai AS$1,500 (RM6,118.50) sebulan bagi penginapan, makanan dan perkhidmatan lain, termasuk akses ke gimnasium.
Untuk itu, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, polis dan agensi lain telah memeriksa tahap kerakyatan individu terbabit bagi menentu sama ada mereka menggunakan pasport kedua untuk mendiami di komuniti itu.
Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Digital juga memeriksa status ‘Network School‘ yang dikatakan tidak menyediakan perkhidmatan pendidikan atau meletakkan statusnya sebagai institusi pengajian tinggi.

No comments:
Post a Comment