Suatu hari bulan Februari 25 tahun lalu, tiba-tiba saya menerima panggilan telefon dari luar negara.


Fathi Aris Omar


Lama juga perbualan kami, seingat saya antara 20 hingga 25 minit. Waktu itu Samsuri Mokhtar (kini Ir Dr) sedang menyambung pelajaran peringkat PhD. 






Sebagai senior satu kumpulan usrah di SESMA, saya sampai sekarang terasa kecaknaan tokoh PAS ini terhadap saya. Seingat saya beliau ikut usrah sejak Tingkatan 1 dan saya pula sudah Tingkatan 3.


Kalau anda masih ingat, waktu itu Malaysiakini  diserang media arus perdana selama beberapa minggu atas tohmahan terima dana George Soros. 


Muka Steven Gan dan Premesh Chandran (kadang- kadang saya juga) sering dimain di kaca TV. Perang media zaman itu memang begitu. 


Sesiapa yang dianggap musuh kerajaan (baca: Umno) akan diserang. Tidak kisahlah siapa mereka: media, siswa, aktivis atau ahli akademik. Apatah lagi pemimpin parti pembangkang. Semua mangsa.


Susulan liputan meluas di media, orang mula kenal kami. Apabila kami turun minum di Bangsar Utama (pejabat kedua portal ini di belakang SJKT), pasti ada muka tertoleh ke arah kami bertiga. 


Malah ibu cerita, orang kampung beritahunya, "Fatimah, Fatimah, muka anok mung masuk TV". Saya tahu kemudian, selepas pulang ke kampung.


Orang kampung saya di DUN Ladang dekat dengan PAS. Begitu juga keluarga besar saya di serata Terengganu. Muncul ketika PRU 1999, Malaysiakini pula sering dilabel portal propembangkang. Yakni dituduh alat politik PAS, DAP, Keadilan dan PRM. 


(Waktu itu DAP belum tinggalkan Barisan Alternatif [BA] dan Keadilan belum bergabung dengan PRM). 


Jenuh jugalah kami menepis label itu. Kami mahu hidupkan portal isu semasa yang bebas dan mandiri sewaktu semua media dijadi alat Umno. 


Kawalan ke atas media luar biasa ketat dan menakutkan. Akta zalim ISA masih leluasa. Tun Dr Mahathir Mohamad, sering dilabel "diktator", masih belum ada tanda-tanda mahu letak jawatan walau sudah hampir 20 tahun memerintah dengan keras. 


Kalau anda masih ingat, waktu ini Terengganu ditadbir PAS dan Keadilan setelah menang luar biasa dengan majoriti 28-4. Berang, Dr Mahathir tarik balik bayaran royalti minyak pada Ogos 2000. 


Jadi rakan-rakan PAS dan penyokong parti itu melihat kami semua senasib: kita semua mangsa tindakan Umno yang berang. Awal 2000, beberapa penerbitan sudah diharamkan (tarik permit, istilah lunaknya). 


Organ parti PAS Harakah dikurangkan kepada dua kali sebulan daripada lapan kali. Era reformasi jualannya melonjak 300,000 naskhah setiap edisi. Saya agak dekat dengan beberapa editor Harakah sejak 10 tahun sebelum serangan itu. 


Jadi perbualan telefon kami berkisar tekanan kerajaan, keselamatan diri, politik semasa dan isu negara. Saya sudah lupa isi tepat perbualan itu tetapi nada cakna Dr Sam dari Leeds, UK cukup menyejukkan hati dan menyuntik semangat. 


Serangan pada Malaysiakini betul-betul dua bulan sebelum tangkapan ISA terhadap 10 aktivis Gerakan Reformasi dan pemimpin Keadilan. 


Operasi tangkapan ini cukup menakutkan walau saya tetap melaporkan sepenuhnya berita penahanan (antaranya) Ezam Mohd Noor, Tian Chua, Lokman Noor Adam, Hishamuddin Rais, Saari Sungib dan Raja Petra Kamaruddin. 


Kami juga risau menjadi sebahagian operasi ini. Jadi memang muncul idea "pelan B" jika pemimpin portal ini khasnya Steven Gan ditahan ISA. Perkara itu dimaklumkan kepada sidang pengarang. 


Dalam suasana gelisah isu dana itu, khasnya ada serbuan mengejut (istilahnya, "ambush") kumpulan media, Malaysiakini diarah menjelaskan isu dana itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pejabat minta saya menyediakan surat tersebut. 


Tetapi serangan memburuk-burukkan portal ini tidak reda-reda juga. Malah kami diminta (atau meminta?) berjumpa dengan Zainuddin Maidin, orang kuat Utusan Malaysia yang waktu itu dilantk setiausaha parlimen Kementerian Penerangan. 


Kami bertiga pergi bertemu Zainuddin, atau Datuk Zam (belum Tan Sri), di pejabatnya di Angkasapuri, hanya 5 kilometer jaraknya, pada  pagi 12 Mac 2001. Rupa-rupanya pertemuan ini menjadi titik penamat episod serangan selama sebulan. 


Di lobi dan lif, sewaktu kami berjalan ke pejabat Zam, ramai kakitangan RTM senyum pada kami. Malah ada yang angkat ibu jari tanda sokongan. Bayangkan pusat propaganda turut sokong kami! 


(Saya hanya berbual panjang semula dengan Tan Sri Zam pada 2015, ketika memuncak skandal 1MDB, di kafenya di Putrajaya. Perlu diingat, beliau seorang editor setia pada Dr Mahathir. Jadi sentimen anti-1MDB sama dengan bekas PM itu) 


BERITA pertemuan tersebut saya sertakan di bawah 👇 lihat bahagian KOMEN. Saya petik sebahagian: 


👉 Dalam pertemuan dengan Malaysiakini di pejabatnya pagi tadi, Zainuddin menggesa akhbar web ini melaporkan "berita yang lebih seimbang" dan mengurangkan kritikan keras terhadap kerajaan. 


"Kita tidak minta Malaysiakini sokong kerajaan. Tetapi cara laporan Malaysiakini memberikan gambaran seperti media asing," katanya, sambil merujuk dua tulisan dalam akhbar web ini.


Satu tulisan mengkritik pelaksaan dasar bahasa kebangsaan yang didakwa ditulis oleh bekas wakil rakyat DAP James Wong Wing On dan satu lagi mengkritik dasar kebebasan akhbar kerajaan yang ditulis editor berita Fathi Aris Omar. 


Bagaimanapun editornya Steven Gan berhujah Malaysiakini gagal mendapatkan pandangan kerajaan kerana tidak mendapat reaksi atau ulasan daripada pihak berkenaan. 


"Kami sukar mendapat kenyataan polis, pegawai-pegawai tinggi kerajaan dan kami sering kali dilarang menyertai sidang-sidang akhbar menteri," kata Steven.


Bagaimanapun Zainuddin berkata beberapa wartawan daripada akhbar lain masih tidak mempunyai kad akhbar tetapi mereka masih boleh membuat liputan majlis-majlis rasmi. 


Bekas wartawan veteran itu juga mempertahankan sikap kerajaan yang masih mengamalkan sedikit sebanyak kebebasan akhbar.


April tahun lalu, timbalan pengarah Bahagian Akhbar dan Perhubungan Awam kementerian Razali Aziz berkata syarikat akhbar internet perlu mempunyai permit penerbitan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum diberikan kad akhbar.


Beliau memberikan penjelasan sedemikian selepas kementerian itu menolak permohonan Malaysiakini untuk mendapatkan kad itu pada 17 April 2000. 


Dalam pertemuan lebih sejam di kementerian, kedua-dua pihak juga membincangkan isu laporan stesen RTM yang mendakwa Steven mendapat anugerah kebebasan akhbar kerana membuat laporan palsu berhubung kematian di kem tahanan pendatang asing di Semenyih, Selangor.


Malaysiakini menggesa RTM membuat pembetulan atau penjelasan terhadap laporan itu yang didakwa tidak benar. Menurut Steven, laporan stesen televisyen itu merujuk satu kes lain yang berasingan di tempat yang sama. 👈


Walau sudah dibangkit masalah kad perakuan media (press accreditation card) pada pertemuan itu, anda tahu bila kami dapat? 


Genap empat bulan selepas kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi terjejas teruk pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, kad akhbar sampai ke portal itu. 


Jasa ini, perlu disebut, hasil kerjasama DS Ahmad Shabery Cheek, waktu itu menteri komunikasi dan multimedia, dengan ketua editor Steven Gan. 


Lapan tahun kami menunggu kad kelabu itu. Waktu itu Umno sudah semakin lemah. Media internet makin kuat. Hinggalah muncul media sosial


(tambahan setakat jam 1.45 pagi)

.




No comments: