Alhamdulillah, malam tadi saya telah memperkenalkan calon-calon HARAPAN yang akan menggalas amanah rakyat dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan.
Sepanjang bekerja bersama saudara Aminuddin Harun, saya melihat seorang Menteri Besar yang mengutamakan amanah. Beliau tidak banyak berbicara soal dirinya, sebaliknya memberi tumpuan kepada kerja dan kebajikan rakyat.
Keserasian antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga telah membolehkan pelbagai projek serta inisiatif dilaksanakan dengan lebih lancar demi manfaat Negeri Sembilan.
Saya percaya kesinambungan kepimpinan yang stabil amat penting ketika negeri ini berada di landasan yang baik. Negeri Sembilan memerlukan sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa dan mampu memastikan agenda pembangunan terus dipacu, pelaburan terus masuk, peluang pekerjaan terus diwujudkan serta kebajikan rakyat terus dipelihara.
Oleh sebab itu, saya dengan penuh rendah diri merayu kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan, tanpa mengira kaum, agama mahupun latar belakang, agar memberikan mandat kepada HARAPAN untuk meneruskan usaha ini.
Mandat itu bukan untuk mengangkat mana-mana individu, tetapi untuk memastikan segala perancangan yang telah dimulakan dapat disempurnakan demi kesejahteraan rakyat, anak-anak kita dan generasi akan datang.
Insya-Allah, jika terus diberi kepercayaan, kami akan bekerja dengan lebih kuat, mendengar dengan lebih dekat dan memikul amanah ini dengan penuh tanggungjawab agar Negeri Sembilan terus melangkah sebagai sebuah negeri yang makmur, stabil dan maju.
No comments:
Post a Comment