Anwar seru rakyat pertahan kerajaan perpaduan, tolak politik fitnah dan perkauman di Negeri Sembilan

 


FOTO BERITA: Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan.Turut hadir Pengerusi Pakatan Harapan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timb Pengerusi, YB Datuk Seri Mohamad Sabu dan YB Loke Siew Fook dan YB Aminuddin Harun di Dataran Melang, Kuala Pilah Negeri Sembilan. 14hb Julai 2026 (Selasa)

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru rakyat Negeri Sembilan mempertahankan kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kestabilan politik negeri.

Beliau berkata, Negeri Sembilan mempunyai rekod pentadbiran yang baik di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, dan momentum pembangunan itu perlu diteruskan.

“Negeri Sembilan memerlukan pimpinan yang bersih, berpengalaman dan berintegriti. Saya yakin Tok Min boleh terus mengemudi negeri ini dengan lebih baik bersama sokongan kerajaan Persekutuan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan di Dataran Melang, di sini, malam tadi.

Dalam ucapannya, Anwar turut mengingatkan semua pihak supaya tidak mempolitikkan institusi Raja Berperlembagaan sepanjang kempen pilihan raya. Beliau menegaskan kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan menjunjung sepenuhnya Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berperlembagaan termasuk kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin.

“Jangan heret institusi diraja ke dalam polemik politik. Kita boleh berbeza pandangan dalam politik, tetapi jangan merosakkan institusi yang menjadi tonggak negara,” katanya. Anwar turut menolak dakwaan bahawa Pakatan Harapan atau DAP menolak kedudukan orang Melayu, Islam dan institusi diraja.

Sebaliknya, beliau menegaskan kerajaan perpaduan tetap berpegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta sistem Raja Berperlembagaan.

Mengulas pencapaian kerajaan MADANI, Anwar berkata pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk peningkatan bantuan tunai, subsidi bahan api, kenaikan gaji penjawat awam, pembaikan sekolah, rumah polis, kem tentera serta penyelesaian isu peneroka FELDA.

Beliau berkata kerajaan juga terus menanggung subsidi bahan api yang mencecah puluhan bilion ringgit bagi memastikan rakyat menikmati harga petrol dan diesel antara yang terendah di dunia.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan turut diluluskan untuk Negeri Sembilan termasuk projek tebatan banjir, bekalan air, jalan luar bandar, Hospital Tuanku Ja’afar, sekolah baharu, mahkamah baharu, klinik kesihatan serta pembangunan Seremban Sentral.

Anwar berkata kejayaan membawa pelaburan asing dan kerjasama antarabangsa juga akan memberi manfaat jangka panjang kepada negara termasuk menjamin bekalan tenaga pada masa hadapan.

Beliau turut menegaskan bahawa perjuangan kerajaan MADANI bukan untuk mengaut kekayaan, sebaliknya memastikan pentadbiran yang bersih, telus dan berkhidmat kepada rakyat.

Mengakhiri ucapannya, Anwar menggesa rakyat Negeri Sembilan menolak politik kebencian, fitnah dan perkauman, sebaliknya memberikan mandat kepada Pakatan Harapan bagi meneruskan agenda pembangunan negeri.

“Saya yakin Negeri Sembilan mampu menjadi negeri yang lebih maju jika kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan terus bekerjasama demi kepentingan rakyat,” katanya.





No comments: