Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki, mendakwa kewujudan kumpulan yang disifatkannya sebagai “daulah terpendam” atau deep state dalam Pas menjadi antara punca kepada beberapa pergolakan politik yang membabitkan parti-parti Melayu-Islam sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Tanpa menamakan mana-mana individu, beliau berkata kumpulan itu mengamalkan politik ala Machiavelli dengan menghalalkan pelbagai cara bagi mencapai kepentingan politik mereka.
“Saya dan beberapa sahabat sedang berperang dengan golongan ‘daulah terpendam’ atau ‘deep state’ di dalam Pas.
“Golongan ini beramal dengan politik Machiavellism yang boleh menghalalkan cara mereka berpolitik untuk mencapai kepentingan politik mereka sendiri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Zuhdi, kumpulan berkenaan bukan sahaja wujud dalam Pas, malah merentasi beberapa parti politik dan didakwa berupaya mempengaruhi keputusan kepimpinan parti mengikut strategi yang dirancang.
Beliau mendakwa kumpulan itu turut memainkan peranan dalam mencorakkan landskap politik negara, termasuk menentukan bila parti-parti politik perlu berpecah atau digabungkan.
“Apabila mereka mahu memecahkan parti-parti politik termasuk parti Melayu-Islam, mereka akan pecahkan. Apabila mereka mahu menggabungkan parti-parti politik termasuk melibatkan parti cauvinis, mereka akan gabungkan,” katanya.
Zuhdi turut mengaitkan beberapa perkembangan politik sejak kebelakangan ini dengan dakwaan kewujudan kumpulan tersebut.
Menurutnya, pembubaran Gagasan Sejahtera, kegagalan Muafakat Nasional (MN), selain kemelut yang kini melanda Perikatan Nasional (PN), merupakan sebahagian daripada perancangan kumpulan yang didakwanya itu.
Beliau turut mendakwa usaha menghidupkan semula Muafakat Nasional atau MN 2.0 juga berisiko menemui kegagalan sekiranya kumpulan sama terus mempengaruhi hala tuju politik.
“Selagi golongan daulah terpendam ini masih menguasai, jangan terkejut jika selepas ini MN 2.0 juga boleh berkubur,” katanya.
Zuhdi turut mendakwa Umno dan Bersatu pernah berdepan pengaruh kumpulan sama, dengan Umno disifatkannya bertindak lebih awal mengekang pengaruh tersebut manakala Bersatu pula didakwa agak lewat berbuat demikian.
Beliau berkata Pas juga tidak terkecuali daripada berdepan kelompok berkenaan dan mendakwa kumpulan itu mula “kepanasan” apabila isu tersebut dibangkitkan.
Dalam kenyataan sama, Zuhdi turut mendakwa kumpulan yang dimaksudkan sebelum ini menggunakan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai “perisai” apabila berdepan kritikan, manakala kini cuba melakukan perkara sama dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Kenyataan Zuhdi itu hadir ketika spekulasi mengenai hubungan Pas dengan rakan-rakan politiknya, termasuk perbincangan mengenai kemungkinan menghidupkan semula Muafakat Nasional, terus menjadi perhatian dalam landskap politik negara.
No comments:
Post a Comment