Pas cuba tumpang kemenangan BN di Johor, tak mahu Umno kembali dominan?

 


Pas didakwa cuba mengambil kredit di sebalik kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, walaupun rundingan kerjasama dengan Umno sebelum pilihan raya itu berakhir tanpa kata sepakat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, mendedahkan rundingan baharu antara kedua-dua parti bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan tidak mengubah hakikat bahawa beberapa usaha kerjasama sebelum ini telah gagal.

“Haji Hadi mendedahkan Umno-Pas sedang berunding untuk PRN Negeri Sembilan. Komen balas (Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid amat negatif.

“Kalau ikut rekod, ia akan gagal. Muafakat Nasional (MN) gagal, Langkah Bangkok juga gagal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut Puad, dalam mesyuarat MKT Umno pada 10 Jun lalu, Ahmad Zahid memaklumkan rundingan telah diadakan dengan Pas bagi menghadapi PRN Johor.

Katanya, antara cadangan yang dipersetujui pada peringkat awal ialah Pas tidak bertanding di mana-mana kerusi, termasuk DUN Maharani, sebagai pertukaran kepada kemungkinan diberikan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan.

“MKT bersetuju memberi mandat kepada Zahid untuk meneruskan rundingan, tetapi akhirnya ia tetap gagal.

“Ini bermakna sudah tiga kali rundingan gagal. Apakah rundingan kali keempat untuk Negeri Sembilan akan berjaya? Saya ragu,” katanya.

Puad mendakwa kegagalan rundingan itu terbukti apabila Pas akhirnya tetap bertanding di 11 kerusi pada PRN Johor.

Beliau turut mendakwa Pas kini cuba mengaitkan dirinya dengan kemenangan besar BN di Johor, walaupun parti itu bertanding menentang gabungan berkenaan.

“Saya yakin Pas tetap dengan objektif utamanya, iaitu tidak akan membenarkan Umno menjadi parti politik Melayu yang dominan,” katanya.

Menurut Puad, Pas tidak mempunyai masalah sekiranya Umno menang besar di Johor, namun mendakwa parti itu tidak akan memberi laluan mudah kepada Umno untuk kembali bertanding secara meluas di negeri-negeri yang dikuasainya seperti Terengganu, Kedah dan Perlis.

Beliau turut menjangkakan jika kerjasama Umno-Pas kembali dibincangkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), isu pembahagian kerusi Parlimen, khususnya kawasan Felda, bakal menjadi antara perkara paling sukar diselesaikan.

Katanya, Pas dijangka enggan melepaskan kerusi Parlimen Felda yang dimenanginya pada PRU15, manakala Umno pula mahu merampas semula kawasan tersebut bagi menambah jumlah kerusi Parlimennya.

Puad turut mengaitkan keputusan kerajaan tidak menyambung kontrak Datuk Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda dengan cabaran Umno untuk menawan semula kerusi-kerusi Parlimen Felda.

“Dalam keadaan itu, apakah akan berlaku situasi ‘menang-menang’ antara Umno dan Pas mengenai kerusi Parlimen Felda? Itu sahaja yang mungkin boleh memaksa kedua-dua pihak kembali ke meja rundingan,” katanya.

Kenyataan Puad dibuat ketika spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama semula antara Umno dan Pas kembali hangat selepas Abdul Hadi mendedahkan wujud perbincangan berkaitan PRN Negeri Sembilan.



No comments: