VIDEO DARI AL JAZEERA TENTANG SRI LANKA : DEKAT SAMA MACAM MALAYSIA : What’s happening in Sri Lanka? | MACAMANA SRI LANKA BENAR BENAR KEKERINGAN DANA?


MACAMANA SRI LANKA BENAR BENAR KEKERINGAN DANA?
Semalam saya ada kongsikan satu laporan pendek Al Jazeera berkenaan masalah ekonomi dan politik yang dihadapi oleh Sri Langka, sebuah negara yang satu ketikanya agak makmur. Ianya berkenaan bagaimana keluarga Rajapaksa begitu berpengaruh di dalam politik Sri Langka sehingga adik beradik boleh menjadi Presiden dan Perdana Menteri dan ahli-ahli keluarga yang lain diberikan kedudukan di dalam kerajaan.
Walaupun mereka dari keluarga Rajapaksa, mereka naik bukannya secara sendiri-sendiri dan tidak paksa orang. Mereka naik melalui sistem demokrasi secara pilihanraya. Maknanya mereka ada ramai penyokong di kalangan rakyat.
Apakah yang terjadi sehingga semalam dikatakan hari yang terakhir petrol dijual di sana kerana Sri Langka tidak lagi mempunyai tukaran asing untuk mengimpot petrol? Dari laporan yang saya tonton itu dikongsikan beberapa sebab:
1. Korupsi yang merangkumi rasuah dan salahguna kuasa yang menjadi budaya sehinggakan kerajaan berbelanja besar-besaran untuk membina infrastruktur yang mahal-mahal yang manfaat dan aliran tunai dari projek-projek sebegini tidaklah berbaloi dengan perbelanjaannya. Ada projek yang dibiayai oleh pihak luar seperti China yang menggunakan pembiayaan projek sebagai satu langkah untuk mempengaruhi negara itu;
2. Mengurangkan cukai tanpa kajian ekonomi yang mendalam menyebabkan dana kerajaan berkurangan dengan amat besar. Ini dilakukan semata-mata untuk memenangi pilihanraya;
3. Memaksa petani untuk bertani secara organik dan tidak menggunakan baja kerana dana untuk mengimpot baja digunakan untuk perkara-perkara lain. Perubahan polisi yang tidak masuk akal ini menyebabkan produktiviti pertanian Sri Lanka jatuh dan mengurangkan tukaran asing yang diperolehi dari mengekspot hasil pertanian mereka; dan
4. Pandemik Covid-19 menyebabkan pelancong-pelancong tidak dapat menziarahi Sri Lanka. Oleh kerana pelancongan adalah sumber ekonomi dan tukaran asing yang besar, ekonomi dan kehidupan rakyat Sri Lanka benar-benar terjejas.
Gabungan dari faktor-faktor di atas menjadikan ekonomi Sri Lanka merudum, inflasi naik berlipat kali ganda, rizab tukaran asing kering, rakyatnya lapar kerana bekalan makanan berkurangan dan akhir sekali mereka juga tidak boleh ke sana dan ke sini kerana bekalan petrol sudah habis.
Jika ada orang bertanya bolehkah sebuah negara menjadi bangkrup, jawapannya ialah “ya” dan lihatlah apa yang terjadi kepada Sri Lanka. Di satu masa dahulu, Greece juga menghadapi masalah yang sama.
Akhirnya rakyat merusuh dan menghambat ahli-ahli politik mereka. Rajapaksa yang menjadi Perdana Menteri meletakkan jawatan, kediaman rasminya pula dibakar bersama dengan kediaman beberapa orang ahli politik lain. Rajapaksa yang menjadi Presiden melantik Wickremesinghe menjadi Perdana Menteri untuk kali yang keenam, bukannya Perdana Menteri keenam 🤗. Dia berjanji akan memulihkan keadaan di dalam masa 2 bulan.
Sri Lanka terpaksa berhutang untuk keluar dari masalah yang dihadapinya sekarang. Negara-negara seperti India dan China sudah menawarkan dana tetapi Sri Lanka sedang berunding dengan IMF untuk mendapatkan dana dan tidak terikat dengan India dan China. Tentunya hutang ini akan dibayar bukan sahaja oleh rakyat Sri Lanka yang dihidup di ketika ini tetapi akan diwarisi oleh cucu cicit mereka di masa hadapan.
Sebagaimana Allah SWT menceritakan apa yang terjadi kepada pelbagai kaum yang lampau di dalam Al Quran untuk dijadikan panduan, apa yang terjadi kepada Greece dan Sri Lanka ini pun kena ditelaah oleh kita supaya negara kita ini tidak terjebak ke lubuk yang sama. Melantik orang yang benar-benar berkemampuan, jujur dan amanah ke kerusi kuasa adalah jalan untuk menghindari kebangkrupan seperti yang dialami oleh Sri Lanka. Orang yang popular tetapi tidak jujur dan meletakkan kepentingan diri, keluarga dan puak boleh menjadikan sebuah negara yang makmur menjadi bangkrup. Mereka tak berasa malu pun dengan tindakan mereka itu.
Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah kepada kita untuk menjadikan iman sebagai asas di dalam membuat keputusan. Kita juga berdoa agar kita tidak mengikut hawa nafsu untuk menaikkan orang yang kita sanjung walaupun kita tahu dia korup dan tidak jujur dan akan membawa kita bersama-sama memasuki gaung sambil kita bertepuk tangan dan menyanyi.
Credit: Nik Hasyudeen