Catatan ‘KJ’, ‘bomoh’ direkod dalam buku faraid UKSB, saksi beritahu mahkamah

 

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Buku 555 dalam perbicaraan kes Ahmad Zahid Hamidi, adalah lejar
 yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh syarikat itu kepada
 beberapa individu antara 2014 dan 2018. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa catatan ‘KJ’, dan bomoh antara perkataan yang tertera di dalam buku ‘faraid’ Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang dikemukakan dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Bekas pengarah UKSB, Harry Lee Vui Khun memaklumkan perkara itu semasa pemeriksaan balas peguam Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Zahid ketika dirujuk buku faraid tersebut.

Buku faraid UKSB yang juga dikenali sebagai Buku 555 di dalam perbicaraan kes Zahid, adalah lejar yang mencatatkan bayaran yang dibuat oleh syarikat itu kepada beberapa individu antara 2014 dan 2018.

Ketika ditanya Zaidi, adakah Lee boleh mengesahkan bahawa ‘KJ’ yang dinyatakan dalam lejar tersebut adalah Khairy Jamaluddin, saksi itu menjawab, ‘itu saya tidak pasti.’

Zaidi: “Saya rasa anda kenal Wan Quoris (Pengarah UKSB Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani) yang pernah bekerja dengan KJ sebelum ini?”

Lee: “Saya tidak begitu pasti beliau bekerja dengan KJ sebelum ini. Tetapi saya tahu beliau (Wan Quoris Shah) kata beliau sangat mengenali KJ.”

Dalam prosiding sebelum ini, Lee dalam pernyataan saksinya berkata, beliau membawa masuk Wan Quoris Shah sebagai pengarah dalam UKSB pada Mei 2013 kerana lelaki itu adalah ahli Umno dan syarikatnya memerlukan kelebihan individu tersebut bagi memudahkan mereka berkomunikasi dengan Zahid yang ketika itu menteri dalam negeri.

Saksi itu juga tidak dapat menjawab soalan Zaidi ketika ditanya mengenai pembayaran kepada individu dicatat dengan perkataan ‘bomoh’ dalam buku sama.

Selain catatan KJ dan bomoh, antara catatan lain yang tertera di dalam buku tersebut adalah KPU (ketua pengarah), FM (menteri luar), SUB (setiausaha bahagian) dan AK (Akbar Khan).

Saksi pendakwaan ke-15 itu juga bersetuju dengan cadangan Zaidi bahawa bayaran yang dibuat kepada menteri dan ahli politik yang dicatatkan dalam buku tersebut adalah sumbangan politik.

Lee turut mengesahkan bahawa sumber kewangan yang dibayar kepada individu dalam buku faraid tersebut diperoleh daripada sub kontraktornya di Hong Kong (syarikat itu dilantik UKSB bagi menguruskan sistem Visa Luar Negara (VLN) bagi pihak mereka dan sumber dana tersebut tidak pernah dimasukkan ke dalam akaun UKSB.

Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku menteri dalam negeri bagi melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, beliau didakwa telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SGD1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya dan Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Yazid Mustafa bersambung 30 Mei.


No comments: