SEBAB PENASIHAT PMO ADALAH "KAYU" : SEBAB ITU TAJUDDIN JADI DUTA?

 

Mengapa pilih Tajuddin yang berkontroversi jadi duta, pemimpin Umno persoal PM

facebook sharing button 
twitter sharing button 
whatsapp sharing button 
email sharing button 

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mempertahankan pelantikan
 Tajuddin Abdul Rahman sebagai duta ke Indonesia dengan berkata,
 Putrajaya ‘tidak boleh memuaskan hati semua orang’.

PETALING JAYA: Seorang pemimpin Umno mengkritik pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman menjadi duta ke Indonesia dengan berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya memilih tokoh yang kurang kontroversial.

Pemimpin itu, yang tidak mahu dinamakan, memberitahu FMT bahawa beliau dapat memahami keperluan perdana menteri untuk memilih rakan separtinya yang boleh dipercayai, namun katanya, Tajuddin bukanlah terkenal dengan kebolehan yang luar biasa.

Malah, katanya, kebolehan Tajuddin diragui, seperti yang ditunjukkan dalam cara beliau mengendalikan pelanggaran dua tren LRT tahun lepas sebagai pengerusi Prasarana.

“Dan kenapa perdana menteri perlu melantik ahli Parlimen yang bersidang sedangkan ahli Parlimen sepatutnya berkhidmat kepada pengundi?”

Beliau berkata, “kelakuan tidak beradab” Tajuddin di Dewan Rakyat juga menjadikan beliau tidak layak untuk jawatan diplomat.

Bagaimanapun, katanya, pelantikan itu tidak bermakna Umno kembali kepada cara lamanya dalam memberi faedah dan jawatan tertinggi dalam kerajaan kepada pihak yang mempunyai rangkaian politik.

“Umno kekal di landasan reformasi politik,” katanya.

“Kami menyokong undang-undang anti-lompat, memandangkan dana pembangunan kawasan pilihan raya diberikan sama rata di Perak, perlembagaan parti dipinda dan lebih ramai calon lebih muda diletakkan dalam dua pilihan raya negeri (PRN) yang lalu.”

Pada Rabu, Ismail mempertahankan pelantikan Tajuddin dengan berkata, Putrajaya “tidak boleh memuaskan hati semua orang”.

Beliau juga berkata, Tajuddin adalah ahli politik yang berpengalaman dan pelantikannya telah diluluskan oleh Presiden Indonesia Joko Widodo.

Penganalisis politik Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, Umno seolah-olah menjauhkan diri daripada Tajuddin. Parti itu tidak boleh dipersalahkan atas pelantikannya, tambahnya.

Katanya, beliau sedar Umno tidak menyokong Tajuddin dalam “sebarang perkara politik”, terutamanya selepas kejadian membabitkan LRT itu.

“Saya lihat Umno juga semakin menjauhkan diri daripada pelantikannya sebagai duta,” katanya.

Ahli sains politik Wong Chin Huat berkata, amalan melantik tokoh politik sebagai diplomat mempunyai cacat cela, tetapi telah diamalkan bertahun-tahun, termasuk pada zaman Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Ahli Parlimen Umno tidak akan mengkritik amalan ini walaupun mereka berpendapat Tajuddin tidak layak kerana mereka juga mahukan ‘jabat tangan emas’ seperti itu apabila mereka keluar,” katanya.

No comments: