1. Bekas Pengarah Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB), Harry Lee Vui Khun, bagi tahu Mahkamah Tinggi di Shah Alam semalam dia hantar duit tunai tiap-tiap bulan, dalam mata wang dolar Singapura kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, dari 2014 hingga 2018.
2. Duit itu adalah berhubung dengan kontrak Sistem Visa Luar Negara (VLN) yang dibagi kepada UKSB. Bayaran kepada Ahmad Zahid mula akhir tahun 2014 sebanyak SG$200,000 (kira-kira RM632,000) sebulan dan naik kepada SG$520,000 (RM1,643,200) sebulan pada 2017.
3. Ahmad Zahid, 69, sedang hadapi 33 tuduhan terima suapan SG$13.56 juta (RM42,849,600) daripada UKSB bagi diri dia sebagai Menteri Dalam Negeri untuk lanjutkan kontrak berkenaan.
4. Boleh jadi banyak orang tak tahu yang UKSB ini terkait dengan sebuah syarikat milik Umno atau yang jadi proksi parti itu iaitu Gabungan Kesturi Sdn Bhd. Ikut rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Gabungan Kesturi ada 150,000 saham dalam UKSB.
5. Pemegang saham UKSB yang lain adalah Wan Quoris Shah Wan Abdul Ghani (200,000 unit) dan HRL Capital Sdn Bhd (150,000). Carian atas talian mendapati pengarah HRL Capital adalah adik beradik Paul Lee Vui Yung and Harry Lee Vui Khun.
6. Ikut rekod SSM lagi, dua orang eksekutif tersohor, iaitu Shahril Ridza Ridzuan (Tan Sri), Abdul Rahman Ahmad (Datuk), pernah menjadi ahli lembaga pengarah Gabungan Kesturi. Dua yang lain adalah Soong Yoke Yin dan Ng Pek Hoon.
7. Sebelum Umno kalah dalam pilihan raya umum 2018, Gabungan Kesturi ini adalah antara pemegang saham utama dalam konglomerat Media Prima Berhad. Shahril Ridza dan Abdul Rahman cergas dalam pengurusan Media Prima walaupun pada masa itu mereka masing-masing mengetuai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
8. Persoalan yang timbul sebaik saja Umno kalah dalam PRU 2018 adalah kaitan antara Gabungan Kesturi dengan beberapa GLIC yang banyak memegang saham dalam Media Prima walaupun harga saham syarikat itu sedang jatuh dan perniagaannya rugi.
9. Maksudnya pada zaman pemerintahan Najib, urusan rasmi negara, politik dan peribadi dicampuradukkan sesuka hati tanpa mempedulikan undang-undang, petaturan, tadbir urus berintegriti dan kepentingan awam.
10. Maka dalam kes tuduhan rasuah ke atas Ahmad Zahid ini, adalah tidak masuk akal Gabungan Kesturi, sebagai pemegang saham UKSB, tidak tahu. Apatah lagi ia berlangsung lebih empat tahun dan jumlah yang terlibat cukup besar- RM42.8 juta.
Wallahuaklam.
A Kadir Jasin
Tokoh Wartawan Negara.