Pengundian atas talian PKR berjalan amat lancar
Pengundian Atas Talian (PAT) yang bermula semalam tidak mempunyai banyak isu dan kebanyakan pengundi dapat melaksanakan tanggungjawab dengan selesa dan mudah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Dr Zaliha Mustafa, isu terpencil yang diterima beliau ialah pengundi tidak dapat One-Time Password (OTP) untuk meneruskan pengundian, atau warga emas yang kurang faham menggunakan aplikasi.
“Memang kita ada beberapa aduan. Sebanyak 10,000 setakat pagi tadi yang berjaya masuk pengundian, aduan tentang OTP saya terima tak sampai lima (aduan).
“Bagi yang tak dapat OPT, log out dan log in semula, dan mereka berjaya dapatkan OTP seterusnya melaksanakan undian, benda itu (masalah) berlaku tetapi tidak banyak dan boleh diatasi.
“Bagi warga emas yang kurang faham aplikasi, saya rasa anak yang mendfaftar emak ayah mereka perlulah membantu. Kita ada beri video (panduan mengundi) dan manual.
“Namun kalau anak anak yang membantu, mereka tidak perlu manual pun mereka boleh. Saya rasa warga emas tengok manual pun susah juga mereka nak faham, OTP pun mungkin mereka tak tau nak cari di mana. Saya rasa anak yang mendaftarkan maka anak anak perlu membantu,” katanya dalam temubual khas bersama Suara Keadilan, semalam.
Untuk pengundi yang menghadapi masalah, kata Dr Zaliha maka pihak JPP menyediakan talian hotline khas yang telah diuar uarkan dan boleh didapati dengan merujuk ke: https://pemilihankeadilan2022.com/
Untuk pengundian fizikal di Selangor pada Sabtu ini yang dijangka panas pula, Dr Zaliha mengharapkan keadaan akan lebih terkawal.
Hal itu katanya kerana lebih 30,000 pemilih beralamat di Selangor telah mendaftar dalam aplikasi ADIL dan berkemungkinan pengundian fizikal tidak sebanyak tahun 2018, dan diharapkan tidak menimbulkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Sama sama kita doakan Selangor negeri panas ini akan berjalan lancar. Kita telah melihat apakah punca kekecohan sebelum ini.
“Saya juga tertanya tanya jumlah (pengundi fizikal) yang akan hadir di Selangor kerana ramai yang mendaftar PAT di Selangor.
“Kemungkinan yang datang fizikal berkurang. Keseluruhan kehadiran mengundi fizikal di negeri lain juga agak berkurang (kerana adanya PAT),” katanya lagi.