BUNG MUKHTAR PILIH BUNG MUKHTAR KETUA MENTERI SABAH


BN menyerahkan kepada Pengerusi UMNO Sabah, Bung Moktar Radin untuk menentukan calon Ketua Menteri sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September depan.
Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi berkata, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah diberi kuasa autonomi untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.
“Memilih seorang Ketua Menteri dalam kalangan Adun apabila mendapat kemenangan dengan majoriti mencukupi bagi pembentukan kerajaan negeri Sabah yang baru adalah tugas Bung Moktar.
“Lepas PRN kalau dapat majoriti mudah perundingan akan dijalankan dengan semua Adun yang ada,” ujar beliau.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh PRN Sabah.
Hal itu diumumkan Timbalan Pengerusi SPR, Dr Azmi Sharom di Kota Kinabalu, Sabah selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai pengurus pilihan raya di sebuah hotel di bandar raya berkenaan.
Untuk tarikh penamaan calon ia ditetapkan pada 12 September, manakala pengundian awal diadakan pada 22 September.
Berdasarkan tarikh yang diumumkan itu, tempoh untuk berkempan bagi semua calon yang bertanding ialah selama 14 hari.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata pihaknya akan menggunakan logo BN dalam PRN Sabah yang diadakan nanti.
Menjawab pertanyaan wartawan tentang calon yang akan mewakili BN, Bung Moktar berkata ia akan dimuktamadkan tidak lama lagi.
“Ia dalam proses, kita sedang memperhalusi dan akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Dua minggu lalu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan berkata, beliau akan turut bertanding di peringkat Dun dalam PRN Sabah kali ini.
Menurut beliau, kawasan yang dipilihnya untuk bertanding ialah di Dun Lamaq, sebuah kawasan baru.
Ditanya jika keputusannya menunjukkan beliau sedang mengintai kerusi Ketua Menteri, Bung Mokhtar berkata, UMNO mempunyai ramai calon berkelayakan bagi jawatan itu.
“Saya juga boleh jadi Ketua Menteri,” katanya.
Dengan perkembangan terbaru di mana Pengerusi BN, Zahid Hamidi memberi kuasa autonomi kepada Bung Moktar memilih calon Ketua Menteri, siapakah pilihan beliau nanti?
Mungkinkah Bung Moktar akan memilih calon lain selain dirinya atau Bung Moktar akan memiih Bung Mokhtar sebagai Ketua Menteri Sabah?
 (Shahbudindotcom 18/08/2020)

No comments: