Rina Hamzah
Ketika menjawab soalan semasa program Berani Semuka Sinar Harian pada 14 Ogos lalu (minit ke 1:14:50 hingga 1:17:22), DS Azeez telah mengatakan;
https://www.facebook.com/SinarHarian/videos/946969852437736
“RM500,000 duit zakat untuk UMNO Bahagian Baling yang dikeluarkan dari akaun UMNO. Duit dimasukkan dalam envelop RM20. RM50, RM100 dan RM200 untuk diagihkan kepada yang memerlukan.”
Beberapa persoalan timbul dari jawapan tersebut:
1. RM500K itu adalah duit zakat. Jika itu benar, mengikut nasab duit zakat 2.5% dari jumlah harta; ini membawa erti jumlah harta UMNO Baling untuk bahagian zakat ini sahaja adalah RM20juta.
Kalau duit zakat RM600k, nilai harta adalah RM24juta.
Satu Bahagian UMNO sahaja mempunyai harta sebanyak ini; tertanya-tanya bagaimana satu Bahagian parti politik UMNO boleh mempunyai harta terkumpul sebanyak itu atau lebih?
2. Jika UMNO Bahagian Baling tidak mempunyai harta sebanyak RM20juta/RM24juta untuk mewajibkan membayar zakat sejumlah RM500k/RM600k itu, dari mana pula duit itu datang?
Saya kira rakyat berhak untuk mengetahuinya terutama rakyat Baling.
Adakah mungkin RM500K itu adalah duit bayaran zakat DS Azeez sendiri?
Jika ini keadaannya, adakah maksud DS Azeez mempunyai nilai harta sejumlah itu? Hanya satu persoalan.
3. Jika benar UMNO Bahagian Baling memang mempunyai nilai harta sejumlah RM20 juta atau lebih yang mewajibkan bayaran zakat tersebut, saya kira sepatutnya semua ahli UMNO Bahagian Baling kemungkinan tidak tergulung dalam kumpulan B40 dan tidak layak menerima zakat.
4. Atau ada yang tidak kisah hendak tahu dari mana duit itu datang samaada halal atau haram; yang penting “saya” dapat bahagian saya?
Saya yakin dan percaya majoriti rakyat Malaysia beragama Islam terutamanya rakyat di Baling dan juga yang menerima sumbangan kewangan masih sensitif dan peka untuk mengetahui dan memastikan sumber bantuan diterima adalah dari sumber yang halal dan baik (halalan taiyiban).
Menjadi tanggungjawab yang memberi atau menyampaikan itu memastikan sumber kewangan dan bantuan itu adalah halal dan baik.
Jika kepentingan politik dan kepentingan kedudukan menjadi keutamaan di atas segala pertimbangan, maka amalan “matlamat menghalalkan cara” akan mendominasi percakapan dan perbuatan.
Kepada mereka ini, jangan cabar kebijaksanaan rakyat!
Tn Hj Zahir Hassan
Pengerusi MPNWP.