Hidupkan semula ekonomi, peruntukan harus lebih tinggi - Anwar






Peruntukan yang lebih tinggi amat diperlukan bagi meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi negara yang sedang menguncup ketika ini, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berpandangan, walaupun kerajaan sentiasa dinasihatkan supaya membelanjakan peruntukan secara berhemah, pendekatan baharu perlu diambil apabila pertumbuhan ekonomi negara masih tidak menunjukkan rekod yang positif.

"Memang kita sentiasa berjaga-jaga supaya jumlah peruntukan jangan terlalu tinggi tapi ternyata kemelesetan sedang dihadapi negara ketika ini.
"Penguncupan ekonomi negara adalah antara paling rendah di Asia, tetapi peruntukan dilihat sangat terbatas.

"Ada juga yang membuat unjuran bahawa hanya sekitar dua peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), nyata bahawa jumlah ini rendah.
"Kalau nak hidupkan semula ekonomi, peruntukan harus lebih tinggi. Dalam keadaan sekarang ini, orang tak fikir soal defisit tetapi bagaimana nak tingkatkan semula pembangunan ekonomi negara," katanya ketika perbahasan di Dewan Rakyat.

Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini melaporkan bahawa statistik KDNK Suku Tahun Kedua 2020 menunjukkan prestasi ekonomi negara menyusut 17.1 peratus daripada pertumbuhan marginal 0.7 peratus pada suku tahun pertama 2020.

Prestasi suku tahun ini merupakan pertumbuhan KDNK terendah yang direkodkan sejak suku tahun keempat pada 1998 (-11.2%).

Dalam pada itu, Anwar turut mempersoalkan peranan bank-bank yang dilihat masih gagal membantu meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi negara.

"Berbeda daripada soal moratorium, langkah cermat secara pinjaman tidak sepatutnya memihak kepada bank tetapi memihak kepada ekonomi.
Maknanya bank berperanan membantu mempercepat proses pertumbuhan, bukan menekan dan memberikan syarat collateral atau memilih syarikat yang sudah berada dalam keadaan baik dan mendapat untung.

"Ternyata mereka tidak membantu untuk membangkitkan pertumbuhan ekonomi seperti yang diharapkan," katanya.