‘Dia paling sibuk di dunia nak buat RCI Tabung Haji’


‘Dia paling sibuk di dunia nak buat RCI Tabung Haji’




Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Tabung Haji (TH) bermula Jun 2018 hingga termeterai perjanjian syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) yang dimiliki penuh oleh kerajaan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) terbukti telah berhasil.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pencapaian itu dapat dilihat pada lebihan aset TH sebanyak RM1.9 bilion setakat 30 Jun lalu.
“Terbukti dengan usaha kita (kerajaan Pakatan Harapan) lakukan terbukti pada pertengahan 2020, segala soalan yang dikemukakan dijawab oleh kerajaan hari ini.
“Kerajaan hari ini mengakui TH untung, aset sudah melebihi liabiliti dan pendeposit telah bertambah. Pelan pemulihan TH terbukti sukses dan menunjukkan pemulihan,” katanya menerusi saluran Jom Channel di YouTube malam tadi.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu mempersoal kewajaran kerajaan Perikatan Nasional (PN) menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
“Bila (TH) sudah berjaya seharusnya tidak timbul lagi ‘misteri’. Lainlah kalau pemulihan itu lingkup.
“Tapi kalau pemulihan itu sukses, saya tidak faham mengapa isu RCI dibangkitkan semula.
“Kami memulihkan TH dan terbukti menerusi jawapan-jawapan di Parlimen yang semua orang sedia maklum.
“Desakan-desakan politik daripada bekas Pengerusi TH yang lalu. Dia paling sibuk di dunia nak buat RCI termasuk Ketua Pemuda Umno dan Timbalan Menteri dari Pas.
“Walhal, dia sebagai Timbalan Menteri sepatutnya tahu segala maklumat yang diberi secara berfakta dan berobjektif,” bidasnya.
Mujahid yang juga Naib Presiden AMANAH menyifatkan desakan RCI TH itu kerana diheret sentimen politik.
“RCI ini untuk merendah-rendahkan usaha pemulihan yang telah kita buat dan menutup segala kelemahan mereka yang semakin hari semakin terdedah.
“Apabila mereka mendesak, rupanya desakan itu kena pada diri mereka,” tegasnya.
Syarat terma
Mujahid sekali lagi mengulang pendiriannya yang tiada masalah dengan penubuhan RCI tetapi mestilah jelas dari segi syarat terma rujukan.
“Jangan hanya dibuat RCI untuk tutup segala penyelewengan yang berlaku pada zaman dulu.
“Tetapi RCI itu mesti juga melihat secara keseluruhan transaksi terdahulu bagaimana untung dan rugi bagaimana.
“Tunjukkan bagaimana TH Heavy Engineering Berhad rugi tetapi tidak direkodkan. Ya. Tanya itu semua,” tegasnya.
Untuk rekod, Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 menyatakan rosot nilai melibatkan pelaburan dalam syarikat bersekutu, iaitu TH Heavy Engineering Berhad berjumlah RM164.58 juta tidak direkodkan.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, RCI terbabit boleh meminta penjelasan daripadanya berhubung pelan pemulihan TH yang diusahakan kerajaan PH sebelum ini.
“Saya boleh tunjukkan dokumen-dokumen bagaimana kita lakukan pemulihan dengan telus, mesyuarat Kabinet, transaksi yang tidak meragukan.
“Kalau RCI betul-betul dibuat dengan adil ia akan makan tuan (kerajaan). Tapi ingat RCI tidak ada kuasa untuk mendakwa. RCI hanya siasatan.
“Kalau sudah untung, aset sudah lebih baik malah bertambah, perniagaan berjalan elok, pendapatan tetap lebih baik , tiba-tiba RCI. Ini pelik dalam dunia, daripada pihak kerajaan pula,” sinisnya lagi.
Abdul Azeez dalam debat ‘Berani Semuka’ dengan Mujahid anjuran Sinar Harian pada 14 Ogos lalu tidak susah-sudah menyebut tentang RCI.