Sidang Parlimen ditangguh 10 minit, kerajaan PN tidak cukup majoriti?




Proses kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2020 bertukar panas apabila proses pengundiannya dipertikaikan.

Pada awalnya RUU tersebut mahu diluluskan secara undi suara. Namun selepas 15 ahli parlimen berdiri sebagai tanda bantahan maka speaker Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun terpaksa membuat proses undi belah bahagian.

Azhar menangguhkan sidang selama 10 minit dan meminta loceng dibunyikan selama dua minit, sebelum proses belah bahagian dibuat.

Bagaimanapun, Azhar kemudian bangun dan bertindak keluar daripada Dewan, sekali gus mengundang reaksi negatif daripada ahli parlimen dari blok pembangkang.

Tindakannya dilihat sengaja memberi masa kepada ahli parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk masuk ke dalam Dewan supaya dapat mengambil bahagian dalam proses belah bahagian.

Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkefly Ahmad meluahkan rasa hairannya terhadap situasi tersebut.

"YDP Speaker menangguh sidang selama 10 minit selepas membunyikan loceng selama 2 minit untuk melakukan undi belah bahagian.

"Tidak pernah berlaku sebelum ini. Unprecedented!

"Ahli-ahli Parlimen Pembangkang terpinga-pinga! Tunggu apa atau siapa ya?" katanya di Twitter.

Selepas menangguhkan sidang lebih 10 minit, Azhar meluluskan RUU Perbekalan dengan mendapat sokongan daripada 111 ahli parlimen, manakala 106 ahli parlimen membantah usul tersebut.

Terdapat lima ahli parlimen yang tidak hadir iaitu Maximus Ongkili (Kota Marudu), Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Wilfred Madius Tangau (Tuaran), Shafie Apdal (Semporna) dan Christina Liew (Tawau).

Namun, tindakan Speaker yang memberi masa lebih 10 minit kepada ahli-ahli parlimen di bangunan bersebelahan untuk masuk ke Dewan Rakyat menjadi pertikaian. Mengikut Seksyen 47 (2) Peraturan Mesyuarat berkenaan undian dalam Dewan, undi-undi anggota parlimen yang datang lambat perlu diketepikan.

Sekiranya undi mereka diketepikan maka keputusan tentu menjadi sebaliknya, kerajaan 'tebuk atap' Perikatan Nasional akan kalah dan tidak dapat membayar gaji beberapa menteri yang ditambah daripada jumlah asal kabinet kerajaan Pakatan Harapan dahulu.



No comments: