Singapura catat 142 kes baru Covid-19, jadikan jumlah 1,623



Pekerja warga Bangladesh, India dan China di asrama pekerja S-11 Punggol di Singapura yang diwartakan sebagai pusat isolasi Covid-19. (Gambar Reuters)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 142 kes baru jangkitan Covid-19 di Singapura, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 1,623 di republik ini.
40 daripada kes baru itu mempunyai kaitan dengan kluster di asrama pekerja asing, 28 dikaitkan dengan kluster bukan asrama atau kes lain, sementara 72 lagi setakat ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes dan 2 kes dari luar, kata MOH dalam satu kenyataan di sini semalam.
Setakat hari ini, jumlah kes positif daripada 3 kluster yang diwartakan sebagai kawasan isolasi, S11 Dormitory @ Punggol, Westlite Toh Guan Dormitory dan Toh Guan Dormitory, ialah 179.
Sementara itu, 2 lelaki rakyat Malaysia berusia 30 dan 40 tahun, adalah sebahagian daripada 72 kes tempatan yang tidak berkaitan dengan mana-mana kes dan masing-masing kini berada di dalam wad Hospital Besar Singapura dan Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID).
Bagi kes daripada sektor penjagaan kesihatan awam, MOH berkata, terdapat 1 kes melibatkan seorang juruteknik berusia 31 tahun di Hospital Besar Ng Teng Fong.
Mengenai perkembangan terkini kes yang disahkan, kementerian itu berkata 29 lagi kes jangkitan Covid-19 didiscaj dari hospital atau fasiliti isolasi komuniti, menjadikan jumlah mereka yang pulih sepenuhnya kepada 406.
Daripada 669 kes yang disahkan dan masih lagi di hospital, kebanyakan daripada mereka adalah stabil atau beransur pulih, sementara 29 lagi kritikal dan berada di unit rawatan rapi.
Setakat ini, Singapura merekodkan 6 kematian akibat komplikasi daripada jangkitan Covid-19.
Menurut MOH, seorang rakyat India berusia 32 tahun yang merupakan kes ke-1,604, meninggal dunia di kediamannya pada 8 April.
Terdahulu, MOH berkata, pemegang Pas Jangka Panjang itu menjalani ujian Covid-19 di NCID pada 7 April dan dinasihatkan supaya berada di rumah sementara menanti keputusan ujian.
Hasil X-Ray di dadanya menunjukkan dia tidak mengalami pneumonia dan mangsa disahkan mengalami jangkitan Covid-19 selepas kematiannya.
“Siasatan masih berjalan bagi mencari punca kematian,” kata MOH.

No comments: