MUHYIDDIN TAK AKAN PEDULI COVID-19 ATAU TIDAK, KEINGINANNYA HANYA PASTIKAN SEKURANG2NYA 112 AHLI PARLIMEN DAPAT JAWATAN SEBELUM 18 MEI



Di musim PKP akibat wabak Covid-19 ini, selain setiap hari kita mendapat maklumat berkenaan jumlah pesakit dan kematian akibat daripadanya, kita juga saban hari dihidangkan dengan berita penyingkiran serta perlantikan baru peneraju dalam syarikat-syarikat berkaitan kerajaan atau GLC.

Setiap hari ada saja berita tentang orang-orang tertentu ditamatkan perkhidmatannya dan perlantikan baru pula dibuat sebagai menggantikannya.

Walaupun banyak seruan daripada pemimpin kerajaan sendiri agar semua orang mengurangkan urusan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan ketika musim wabak Covid-19 ini, hakikatnya dengan pemecatan dan perlantikan baru setiap hari itu menunjukkan pihak kerajaan sendiri gagal mengawal nafsu politik mereka.

Meskipun apabila bertukar kerajaan, perlantikan baru dalam GLC adalah tidak dapat dielakkan, tetapi sekurang-kurangnya dalam keadaan negara dilanda wabak Covid-19 ini, pemecatan dan perlantikan baru tidak perlulah dibuat terlalu tergesa-gesa oleh PN baru lebih sebulan menjadi kerajaan.

Masih banyak masa lagi untuk melakukan semua perubahan tersebut.

Tetapi, mengapakan Muhyiddin Yassin seolah-olah tidak sabar untuk melakukan perubahan dan mengisi kedudukan dalam GLC-GLC?

Muhyiddin sebenarnya amat risau berkenaan Sidang Parlimen yang telah ditetapkan pada 18 Mei depan di mana ketika itu nanti satu usul undi tidak percaya akan dibentangkan terhadapnya.

Usul itu adalah bagi mengesahkan kedudukannya sebagai Perdana Menteri sejak dilantik pada 1 Mac lalu.

Dalam barisan kabinet yang dibentuknya baru-baru ini, Muhyidin telah melantik seramai 70 orang untuk menjadi menteri dan timbalan menteri.

Kemudian beliau menambah jumlah itu menjadi 71 melalui lantikan Presiden Pas, Hadi Awang sebagai Duta Khas ke Timur Tengah bertaraf menteri.

Selain majoriti lantikannya adalah merupakan Ahli Parlimen, terdapat juga beberapa orang daripadanya adalah Senator.

Di kalangan menteri, mereka yang bertaraf Senator ialah Dr. Radzi Jidin, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Dr. Zulkifli Al-Bakri.

Timbalan menteri pula yang bertaraf Senator ialah Lim Ban Hong, Dr. Mah Hang Soon, Dr. Ahmad Mazrizal Muhammad dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ini bermakna daripada 71 lantikan yang dibuat itu, ia hanya melibatkan 64 Ahli Parlimen dan selebihnya adalah 7 orang Senator.

Jika usul undi tidak percaya dibentangkan dan untuk memastikan tidak ditewaskan, Muhyiddin perlu memiliki sokongan sekurang-kurangnya 112 daripada keseluruhan 222 Ahli Parlimen.

Berikutan kedudukan Muhyiddin dalam kerajaan tebuk atap PN ini amat rapuh dan tidak dalam bentuk gabungan yang formal serta mungkin ada mana-mana Ahli Parlimen tiba-tiba beralih angin, tambahan lagi kalau undi usul tidak percaya itu dilakukan secara undi sulit, satu-satunya cara untuk memastikan kestabilan sokongan terhadapnya ialah dengan memberikan mereka jawatan serta kedudukan.

Oleh kerana 64 Ahli Parlimen sudah diberikan jawatan menteri serta timbalan menteri dan untuk memastikan jumlah 112 itu tidak goyang agar boleh terus kekal sebagai Perdana Menteri selepas 18 Mei nanti, Muhyiddin tidak ada pilihan selain perlu menghadiahkan seramai 48 lagi Ahli Parlimen daripada Bersatu, UMNO, Pas dan GPS yang bergabung dalam PN dengan kedudukan dalam GLC.

Memandangkan tarikh 18 Mei semakin hampir dan jika Muhyiddin tidak memberikan mereka jawatan mulai sekarang, kedudukannya sebagai Perdana Menteri boleh terancam dengan sendirinya, melainkan jika sebelum 18 Mei sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen sudah dapat diberikan habuan jawatan serta kedudukan.

Maka, lantikan-lantikan dalam GLC yang menjadi berita setiap hari sekarang ini adalah suatu kemestian bagi Muhyiddin demi survival jawatannya.

Selepas ini atau dalam sehari dua ini, pasti akan banyak lagi berita penyingkiran dan perlantikan baru mengetuai GLC akan terus dilakukan, walaupun wabak Covid-19 belum lagi menampakkkan tanda-tanda berkurangan yang ketara.

Adanya rungutan daripada pelbagai pihak berkenaan penamatan itu yang diaifatkan seolah-olah tidak mempedulikan wabak Covid-19 tidak akan mengubah apa-apa kerana Muhyiddin tentulah lebih pentingkan jawatannya daripada segala-galanya.

Dan percayalah, rata-rata yang akan dilantik mengetuai GLC selepas ini adalah daripada kalangan Ahli Parlimen belaka, bukan merupakan profesional sepertimana dilakukan era PH sebelum ini.

Lantikan yang dibuat hanya untuk menyelamatkan kedudukan Muhyiddin agar tidak tumbang kepada usul undi tidak percaya pada 18 Mei, bukan lagi untuk memastikan syarikat GLC itu bertambah maju dan mencatat keuntungan yang akan memberi manfaat kepada rakyat semua, jauh sekali menunjukkan kepedulian terhadap wabak Covid-19.

 (ShahbudinHusin 09/04/2020)



No comments: