Mengapa bersangka buruk kepada Anwar?
Kredit : Khairul Arifin
KOMENTAR BALAS TULISAN “ENTAH APA YANG MERASUKIMU” OLEH NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN, CALON DOKTOR FALSAFAH (SEJARAH POLITIK MALAYSIA) DI USM, PULAU PINANG
1. Saya telah terbaca tulisan saudara bertajuk “Entah Apa Yang Merasukimu” yang telah tersebar di media sosial. Saya sungguh terguris, terganggu dan amat kecewa dengan tulisan tersebut kerana ia ditulis dengan dorongan perasaan yang buruk terhadap saudara seagama. Bagi mencapai justifikasi, saudara menggunakan hujah yang simplistik iaitu berhujah dengan sandaran yang tidak teliti dan cetek malah direka-reka. Hasilnya, tulisan itu mencermin wajah kandungan yang dangkal dan telah mencemarkan institusi akademik yang saudara wakili.
2. Penulisan yang menggunakan hujah simplistik satu kaedah yang ditegah dalam kajian keilmuan. Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan ke Amerika Syarikat selepas dibebaskan semasa zaman Pak Lah sebagai PM, itu tidak sepatutnya saudara jadikan justifikasi bahawa Anwar terkait dengan segala agenda jahat antarabangsa yang saudara senaraikan sebagaimana terkandung dalam surat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) seperti “Anwar Ibrahim” disokong oleh “Amerika Syarikat”, “Eropah”, “Singapura”, “Freemason”, dan “Zionis”. Ia tambah mengguriskan apabila saudara cuba mengaitkan keputusan Anwar ke Amerika Syarikat bagi menyara hidup keluarganya selepas keluar dari tahanan penjara sebagai sebahagian dari maksud yang ingin disampai menerusi analogi “tikus yang mempunyai kuman yang merbahaya”, “hantu-hantu penjajah”,”kuda kayu yang ditunggang” dan “potongkan tangan-tangan yang melambai makhluk asing untuk mengacau negara kita”, dalam ucapan oleh TGHH di pemasyhuran Muafakat Nasional pada 14 September 2019 di PWTC.
Sampai hati saudara mengaitkan seseorang yang ingin memperoleh nafkah yang halal dan mencari ketenangan setelah sekian lama hidup terseksa dengan istilah-istilah yang amat berat untuk ditanggung oleh seorang Muslim seperti Anwar. Begitu busuk sekali hati saudara. Bumi ini adalah milik Allah SWT. Hambanya boleh ke mana sahaja untuk mengubah kehidupan mereka. Anwar telah mengikuti sunnah itu dengan berhijrah ke Amerika Syarikat. Malah ramai lagi umat Islam yang telah mengambil jalan yang sama dari pelbagai pelusuk berhijrah ke negara itu bagi mencari kehidupan baru. Tuduhan saudara itu seumpama saudara mengaitkan umat Islam di Amerika Syarikat yang ramai itu juga adalah egen-egen musuh. Astagfirullah. Anwar berhak ke mana sahaja apabila rezekinya dibuka sebagai seorang ahli akademik di universiti di negara itu. Persahabatan yang dijaga dengan ramai kenalan Muslim dan bukan Muslim di Amerika Syarikat membuka rezeki untuk kehidupan beliau. Sepatutnya saudara mengucap syukur seorang hamba telah dilepaskan dari kesempitan hidup yang telah lama menderita kerana perjuangan mulia.
Pemikiran simplistik saudara ini amat berbahaya. Sanggupkah saudara menuduh dan mengaitkan seseorang Muslim yang berkunjung ke negara Iran misalnya sebagai telah berfahaman Syiah? atau umat Islam yang menetap di negara-negara Eropah beerti mereka telah bertukar kepercayaan kepada agama Kristian?. Hujah cetek sebegini amat bahaya dan ia mendukacitakan sekirannya diamalkan oleh seorang calon pelajar kedoktoran seperti saudara.
3. Saya dapati juga saudara amat anti dengan istilah Muslim Moderat dan mengaitkannya pula dengan Anwar Ibrahim. Malah, hujah cetek saudara begitu jelas iaitu memandangkan pelbagai institusi antarabangsa yang mendokong pemikiran moderat seperti Foudation For The Future, The Brookings Institute, The Rand Corps, The Sasakawa Peace Foundation, The Asia Foundation, Konrad Adenauer Stiftung dan Friedrich Naumann Foudation, maka Anwar juga tergolong dalam gerakan itu. Ini satu lagi dakwaan yang menggambarkan betapa simplistiknya pemikiran saudara.
Untuk pengetahuan saudara, istilah moderat ini bukan suatu yang asing dalam dunia ilmiah tentang pola atau trend dalam pemikiran manusia. Ia dirujuk oleh para pengkaji Muslim sebagai satu aliran yang cuba mewujudkan keharmonian di tengah-tengah segala kecamukan pemikiran yang wujud. Sesetengah pengkaji Muslim mengaitkan moderation dengan aliran tajdid dan islah. Istilah lain yang serupa dengan moderat ialah reformisme. Ia aliran yang diterima malah digalakkan dalam tradisi pemikiran Islam masa kini. Adakah saudara tidak pernah terdedah dengan wacana moderat dan reformisme ini? Kenapa saudara begitu anti sekali dengan istilah ini seolah ia seperti virus pembunuh? Dari mana saudara memperoleh kefahaman cetek ini? Pelik sungguh pemikiran saudara.
Tugas menjayakan tajdid, islah, reformisme ialah tanggungjawab yang dimainkan oleh ramai ulama dan aktivis Islam sejak penjajahan terjadi di dunia Muslim. Mereka melaksanakan tugas itu mengikut keupayaan ilmu dan bakat masing-masing. Golongan reformis atau moderat di dunia Islam bukan semuanya lahir dari pengaruh Barat. Kebanyakan mereka lahir dari semangat dalaman agama yang diwarisi oleh ramai ulama Muslim. Bukan semua golongan moderat adalah berfahaman Barat Moden sebagaimana yang saudara fahami. Moderat Muslim juga dirujuk sebagai golongan reformis, musleh dan mujaddid Islam. Saudara sepatutnya lebih teliti dalam berhujah dan tidak memasukkan semua orang dalam satu bakul mengikut fahaman dangkal saudara.
Dengan pemikiran cetek itu, saudara terus pula mengaitkan Anwar dengan aliran pemikiran sekular, plural dan liberal. Sanggup dan sampai hati saudara menuduh seseorang seperti Anwar yang telah banyak memberi sumbangan dalam meningkatkan kesedaran Islam di kalangan masyarakat di negara ini, didokong oleh ramai aktivis dakwah dan gerakan Islam di Malaysia dan seluruh dunia serta telah banyak menyumbang dalam penubuhan institusi pendidikan Islam yang kini dimanafaatkan oleh ratusan ribu generasi muda sebagai seorang yang berfahaman sekular? Nauzubillah. Saya mendoakan Allah SWT mengampunkan dosa saudara yang berat ini kepada saudara Muslim yang telah banyak berkhidmat kepada agama dan ummah.
Janganlah dengan sedikit keterbukaan dalam pandangan yang berbeza dengan tafsiran dan kefahaman yang kita ada menyebabkan kita menuduh dan menghukum seseorang itu sebagai pluralis dan liberalis. Kenapa pemikiran saudara begitu jumud sekali sehingga tidak mampu menerima perbezaan pandangan dan keluasan berfikir yang diizinkan oleh tradisi keilmuan kita. Saya ingin menyeru saudara bertaubat atas sikap taasub yang keterlaluan ini. Perbuatan saudara menuduh membabi buta ini tidak hanya melibatkan Anwar, malah membabitkan ramai lagi umat Islam.
Anwar dan ramai lagi golongan refomis Muslim ialah kelompok yang ingin menyumbang kepada kemajuan agama dan ummah dengan cara dan pendekatannya yang tersendiri. Pendekatan moderat Islam tidak menyalahi tradisi keilmuan dan pemikiran Islam. Sepatutnya saudara menghormati dan meraikan cara dan kaedah mereka bukan membuat tohmahan tanpa usul periksa dan mengguris hati dan perasaan. Malah saudara sepatutnya bersyukur kerana terdapat ramai lagi aktivis Muslim yang bertebaran di dunia yang sedang memperjuangkan agama dan mengangkat martabat ummah. Mereka mempunyai peranan tersendiri dalam masyarakat. Saudara sepatutnya berterima kasih.
Anwar dan ramai lagi golongan refomis Muslim ialah kelompok yang ingin menyumbang kepada kemajuan agama dan ummah dengan cara dan pendekatannya yang tersendiri. Pendekatan moderat Islam tidak menyalahi tradisi keilmuan dan pemikiran Islam. Sepatutnya saudara menghormati dan meraikan cara dan kaedah mereka bukan membuat tohmahan tanpa usul periksa dan mengguris hati dan perasaan. Malah saudara sepatutnya bersyukur kerana terdapat ramai lagi aktivis Muslim yang bertebaran di dunia yang sedang memperjuangkan agama dan mengangkat martabat ummah. Mereka mempunyai peranan tersendiri dalam masyarakat. Saudara sepatutnya berterima kasih.
4. Untuk pengetahuan saudara, perjuangan membela agama dan ummah oleh Anwar sejak era sebagai pemimpin ABIM telah mendapat dokongan padu dari para ulama semasa seperti Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi, Sheikh Dr Ali Qaradhaghi, Sheikh Dr Ar Raysuni. Wujud penulisan, surat dan pengiktirafan pelbagai terhadap Anwar boleh kita telusuri. Di era perjuangan reformasi, Anwar disokong oleh ramai bekas pimpinan dan ulama PAS seperti Allahyarham Dato Fadzil Nor dan Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz. Adakah sejarah ini tidak ditemui dalam kajian akademik saudara atau saudara sengaja menutup mata?
Disiplin akademik harus dijaga dan bukannya tuduhan dangkal tanpa asas yang kukuh. Disiplin ilmu dalam mengelompokkan seseorang tokoh harus berdasarkan kepada disiplin khusus jika kita berhujah dalam kerangka pemikiran yang tulus. Sebagai pendidik, menjadi tanggungjawab saudara mendidik anak bangsa dengan kaedah dan disiplin yang betul dalam mendalami sejarah dan pemikiran seseorang tokoh seperti Anwar Ibrahim, seorang reformis dan negarawan Muslim yang dihormati di dalam dan luar negara.
Disiplin akademik harus dijaga dan bukannya tuduhan dangkal tanpa asas yang kukuh. Disiplin ilmu dalam mengelompokkan seseorang tokoh harus berdasarkan kepada disiplin khusus jika kita berhujah dalam kerangka pemikiran yang tulus. Sebagai pendidik, menjadi tanggungjawab saudara mendidik anak bangsa dengan kaedah dan disiplin yang betul dalam mendalami sejarah dan pemikiran seseorang tokoh seperti Anwar Ibrahim, seorang reformis dan negarawan Muslim yang dihormati di dalam dan luar negara.
5. Saya ingin menyatakan sekali lagi iaitu saya amat kecewa dengan tulisan saudara yang banyak sangka buruk, tohmahan, prejudis dan busuk hati terhadap sesama Muslim terutama pada Anwar Ibrahim. Saya yakin jasa saudara terhadap agama dan ummah masih terlalu sedikit berbanding sumbangan oleh Anwar sepanjang sejarah perjuangannya.
Tulisan saudara ini dari dari sudut penilaian ilmiah, pada pandangan saya hanyalah karangan ‘salin dan tampal’ (copy&paste) sahaja walaupun saudara telah mengemukakan sejumlah rujukannya. Apabila tulisan dihasilkan kerana didorong oleh hati dan jiwa yang buruk, ia tidak berharga dan bernilai sama sekali.
Catatan pandangan ini adalah respon awal saya terhadap tulisan Saudara, banyak lagi aspek-aspek pemikiran, konsep dan kata kunci tertentu yang boleh dibahaskan lagi secara ilmiah dan lebih mendalam pada masa akan datang, InsyaAllah.
6. Akhirnya, saya ingin menasihati saudara supaya bersikap rendah diri, tawadhuk dalam dunia ilmu pengetahuan seterusnya mempelajari untuk menghormati jasa dan peranan orang lain. Kita tidak mampu menyelamatkan dunia Islam pasca penjajahan ini seorang diri atau dengan kumpulan kita sahaja. Apatahlagi dengan cara saudara membuat tohmahan tidak berakhlak terhadap saudara Muslim yang lain sebagaimana terkandung panjang lebar dalam tulisan saudara itu. Semoga saudara kembali ke jalan berfikir yang lurus.
KHAIRUL ARIFIN MOHD MUNIR
Timbalan Pengerusi,
Timbalan Pengerusi,
PERTUBUHAN AKADEMI PENDIDIKAN DEMOKRASI DAN KEWARGANEGARAAN MALAYSIA (APDK)