APA STRUKTUR ORGANISASI PN ?

AHMAD LUFTI

Semasa Barisan Nasional memerintah dahulu, ada mesyuarat majlis tertinggi BN. Waktu Pakatan Harapan mentadbir negara, ada mesyuarat majlis presiden PH. Sekarang, Perikatan Nasional mengambil alih kuasa melalui pintu belakang, tanpa memperolehi mandat rakyat terlebih dahulu, soalnya apa struktur organisasi PN, siapa kepimpinan tertingginya, apakah mereka ada jadual tetap untuk bermesyuarat terutama memutuskan polisi dan dasar negara? 

Beberapa pimpinan utama Umno-Pas, sekutu utama PN tidak ada dalam Kabinet Muhyiddin-Azmin, seperti Zahid Hamidi, Mohamad Hassan (hatta pemegang jawatan dalam umno yang dilantik menteri seperti setiausaha agung, ketua penerangan pun digugurkan daripada jawatan parti) dan Abdul Hadi Awang, di mana mereka boleh menyuarakan pandangan dan nasihat terhadap kerajaan jika mesyuarat tertinggi PN tidak diadakan? 

PN juga rasanya belum diikat dengan apa-apa bentuk persefahaman dan kerjasama secara bertulis. Okey, kita beri masa dan peluang lagi untuk mereka belajar mencari keserasian. Mungkin juga Muhyiddin sendiri sibuk amat sangat dengan isu Covid-19 dan tak sempat berfikir untuk Perikatan Nasional. Lagipun PN naik secara kudeta, tanpa manifesto, tanpa janji pilihan raya, maka mereka tidak terikat dengan apa-apa janji pembaharuan. Kerajaan Melayu-Islam tanpa DAP sudah terbentuk. Tiada lagi ancaman, 'kan? Yang lain-lain, boleh ejas, 'kan? Sudah sempurna sebuah impian, 'kan?