MENTERI TIK TOK, KINI MUNCUL LAGI PELAWAK DALAM KERAJAAN TEBUK ATAP



Nampaknya dalam kerajaan tebuk atap ini, menteri-menterinya bukan berlumba-lumba untuk buat kerja yang benar-benar mendatangkan manfaat, tetapi lebih ghairah untuk menampilkan sisi lawak jenaka mereka buat tatapan rakyat jelata.
Jika sebelum ini, kita sudah dihidangkan dengan penampilan Menteri Air Air Suam, Menteri Pembentungan, Menteri Letak nama Menteri Atas Dahi, Menteri Mewa dan Menteri Doraemon, kini muncul pula Menteri Tik Tok.
Selepas ini, entah apa-apa lagi muncul lawak jenaka lain oleh menteri-menteri yang ada.
Dalam keadaan negara berdepan pandemik Covid-19, apa rasionalnya bagi Menteri Pengajian Tinggi, Noraini Ahmad tiba-tiba tampil dengan idea menganjurkan pertandingan video Tik Tok?
Tidakkah beliau sedar begitu banyak masalah berkaitan pelajar pusat-pusat pengajian tinggi yang perlu ditangani dan diselesaikan ketika ini?
Apa sumbangan idea, pemikiran dan tindakannya untuk menyelesaikan masalah-masalah pelajar di pusat pengajian tinggi itu?
Kenapa Tik Tok jadi pilihan ideanya?
Apa yang Tik Tok boleh sumbangkan untuk membantu menyelesaikan masalah di IPT, selain ia hanya merupakan hiburan ringan, jenaka dan kadangkala lebih banyak tiada faedah apa-apa pun dari segi keilmuan?
Kenapa tidak dilakukan sesuatu yang lebih akademik dan mendatangkan banyak faedah, sesuai dengan nama kementerian yang diterajuinya?
Sudahlah dapat jadi kerajaan melalui tebuk atap, kelakuan beberapa menteri, dengan terbaru Menteri Pengajian Tinggi ini hanya menampakkan kerajaan ini sebenarnya tidak layak sama sekali mentadbir negara ini.
Lain tahun lebih baik mereka ini masuk pertandingan Maharaja Lawak saja.
 (ShahbudinHusin 09/04/2020)


No comments: