Kerugian pelaburan berbilion ringgit, urus niaga tanah dan kos pemulihan kewangan antara beban legasi FELDA yang perlu ditangani kerajaan bagi memastikan kebajikan ratusan ribu peneroka tidak terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mengenai status siasatan kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, Felda Investment Corporation (FIC), dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, Parlimen Malaysia, pada Selasa.
Anwar berkata nilai pelaburan FELDA dalam PT Eagle High Plantations merosot daripada AS$505.4 juta kepada hanya AS$61.3 juta setakat Ogos 2026, iaitu kejatuhan sebanyak 87.9 peratus.
“Maknanya hilang RM2 bilion. Maknanya kejatuhan 87.9 peratus,” katanya.
Menurut Anwar, kerugian dalam perniagaan tidak semestinya menjadi asas untuk mendakwa seseorang, tetapi tindakan undang-undang perlu diambil sekiranya terdapat unsur salah guna pengurusan, percaturan pelaburan yang salah atau penyelewengan.
“Jadi, kita tidak mendakwa terhukum kerana kerugian. Kita mendakwa kerana ada salah guna urus, percaturan yang salah dan amalan menyakau,” katanya.
Beliau berkata masalah kewangan yang diwarisi menyebabkan kerajaan terpaksa membantu memulihkan FELDA kerana agensi itu melibatkan kepentingan ratusan ribu peneroka.
Anwar memaklumkan sebanyak RM9.9 bilion diperlukan bagi tujuan pemulihan, termasuk RM3.3 bilion untuk penyahsenaraian FGV Holdings dan RM5.7 bilion bagi penstrukturan semula pinjaman lain.
Beliau turut menyebut keperluan membayar RM990 juta setahun serta peruntukan RM450 juta bagi memulihkan rumah pengurus FELDA.
Dalam pada itu, Anwar membangkitkan isu tanah FELDA di Jalan Semarak yang dikaitkan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), yang menurutnya masih dalam siasatan.
Beliau berkata kerajaan sedang melaksanakan pelan hala tuju pemulihan FELDA, manakala siasatan berkaitan dakwaan salah laku diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak berkuasa berkaitan.
Anwar turut menyebut beberapa kes yang telah dibawa ke mahkamah, termasuk kes membabitkan bekas pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, serta bekas pegawai kanan FELDA dan anak syarikatnya.
“Kita sedang menanggung kerugian besar, tetapi saya tidak membebankan kepada peneroka,” katanya.
Menurut Perdana Menteri, tindakan pemulihan dan penguatkuasaan perlu diteruskan supaya kelemahan tadbir urus yang mengakibatkan kerugian besar tidak berulang pada masa depan.

No comments:
Post a Comment