PMQT: PM Anwar Dijadual Perjelas Isu ‘Mafia Korporat’, Rasuah FELDA

 

IMG_8128

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer pada 20 Oktober 2026.

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memberi penjelasan berhubung dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’ dan siasatan membabitkan FELDA di Dewan Rakyat, pagi esok.

Perdana Menteri dijangka menjawab isu dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung mafia korporat pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT), jam 10 pagi.

Menerusi soalan Aminuddin, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan perkembangan terkini dakwaan kegiatan mafia korporat dan bentuk tindakan diambil selama ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada program sesi ramah mesra Perdana Menteri bersama pengurusan tertinggi dan pengurus FELDA 2026 di Bangi pada 21 Ogos 2026. Foto PMO

Bagi soalan Rayer, Anwar dijangka menyatakan jangkaan masa kerajaan akan memulakan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat tuduhan mafia korporat.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat, Perdana Menteri turut dijadualkan memberi penjelasan berhubung kes penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa membabitkan FELDA, termasuk anak syarikatnya FELDA Investment Corporation.

Menerusi soalan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, Anwar dijangka memberi penjelasan status terkini siasatan membabitkan agensi itu.

Dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mengetahui tempoh reman yang dimohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung RCI Tabung Haji pada 27 Ogos 2026.

Selain itu, Perdana Menteri dijangka memberi penjelasan kesediaan kerajaan menjadikan prinsip pelantikan berasaskan merit dan bebas daripada kepentingan politik sebagai antara dasar utama tadbir urus institusi Tabung Haji, selaras dengan satu syor yang dikemuka oleh RCI menerusi soalan dikemuka oleh Ahli Parlimen Bagan Serai, Idris Ahmad.

Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Mohamad Hasan dijangka menyatakan jaminan dan mekanisme diplomatik bersama kerajaan Myanmar bagi memastikan penghantaran pulang pelarian Rohingya dilaksanakan secara selamat, sukarela dan bermaruah.

Bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Jempol, Shamshulkahar Mohd Deli itu, Mohamad turut dijangka memperinci langkah susulan kerajaan melalui ASEAN bagi menangani punca krisis agar tidak berulang dan membebankan negara penerima.

SPRM bertindak menahan pengarah syarikat dan bekas pengarah syarikat yang masing-masing bergelar Datuk dan Datuk Seri serta empat bekas pengurusan kanan Lembaga Tabung Haji.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dijadualkan menyatakan langkah bagi mengatasi masalah kelewatan baja sehingga menggusarkan pesawah dan bagaimana kerajaan mahu memastikan masalah sama tidak berulang semula menerusi soalan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan.




No comments: