
Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan Perikatan Nasional susulan notis bertarikh 22 September lalu.
PUTRAJAYA, 20 Okt – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas mendapati penjelasan yang dikemukakan parti itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Dalam satu kenyataan hari ini, JPPM berkata, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September lalu.
Notis berkenaan menurut JPPM dikeluarkan di bawah subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] bagi memberi peluang kepada PN mengemukakan penjelasan dan representasi berhubung perkara yang dibangkitkan.

JPPM menambah, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum meneliti semua dokumen berkaitan.
“Setelah meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan, Pendaftar Pertubuhan mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk membatalkan pendaftaran PN di bawah subperenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966.

JPPM turut menegaskan, setiap pertubuhan berdaftar bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap peruntukan akta berkenaan serta perlembagaan pertubuhan masing-masing.
Jabatan itu berkata, pihaknya akan terus melaksanakan fungsi kawal selia dan penguatkuasaan secara tegas, adil serta berlandaskan undang-undang bagi memastikan tadbir urus pertubuhan yang teratur, telus dan berintegriti.
No comments:
Post a Comment