
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hadir pada Majlis Pertukaran Dokumen bagi Pembiayaan Bernilai RM5.2 bilion untuk DNB di Kuala Lumpur pada 19 Oktober 2026.
KUALA LUMPUR, 19 Okt – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti mekanisme peluasan pelaksanaan pengesahan identiti elektronik (e-KYC) dan umur pengguna terhadap platform permainan dalam talian seperti Roblox.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, mekanisme itu bertujuan memperkukuh keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak, susulan dakwaan bahawa platform digital disalahgunakan kumpulan pengganas untuk merekrut golongan bawah umur.
“Perbincangan saya dengan pihak Roblox, sebagai contoh, sejak tahun lalu menunjukkan bahawa mereka bersedia untuk bekerjasama. Isunya mungkin hanya dari segi pengesahan pengguna dan pengesahan umur pengguna.

“Jadi, pihak MCMC ketika ini sedang mengenakan sekatan umur kepada pengguna media sosial dan kita akan teliti kesesuaian untuk memperluas aspek e-KYC serta pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pertukaran Dokumen bagi Pembiayaan Bernilai RM5.2 bilion untuk Digital Nasional Berhad (DNB), di sini, hari ini.
Ketika ini jelas Fahmi, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menjalankan pemantauan berterusan terhadap platform permainan dalam talian yang berpotensi disalahgunakan untuk aktiviti keganasan termasuk merekrut anggota baharu.

Beliau menegaskan, pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MCMC akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mengesan sebarang kegiatan berkenaan.
Terdahulu, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan kumpulan pengganas kini dikesan menyasarkan kanak-kanak dan remaja menerusi platform permainan dalam talian termasuk Roblox.
Menurut beliau, modus operandi pengganas adalah mendekati golongan tersebut menerusi ruang permainan digital sebelum mereka dibawa ke kumpulan perbualan tertutup bagi proses indoktrinasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatannya dari Indonesia di Bali, hari ini, berhubung pelaksanaan sekatan umur di platform media sosial.
“Indonesia mempunyai caranya dan kerangka kawal selia tersendiri. Ada perbezaan dan persamaan dengan Malaysia.
“Kita akan berbincang untuk melihat sama ada terdapat cabaran sama dalam perbincangan dengan penyedia perkhidmatan platform media sosial,” katanya.
Pertemuan tersebut antara agenda lawatan kerja beliau ke negara itu sehingga Khamis ini, bagi menghadiri Minggu Teknologi Bali dan Persidangan Ekonomi Kreatif Dunia Ke-5 di Jakarta.
No comments:
Post a Comment